Friday, March 26, 2010

SAMPAINYA HATI.......

Nasib malang yang menimpa 9 beradik (berusia hanya 2 - 13 tahun) yang ditinggalkan ibu dan ayah akibat pertengkaran merupakan satu lagi penyakit yang menimpa masyarakat masa kini akibat kerapuhan institusi keluarga. Tergamak m ereka meninggalkan anak-anak yang kini dipelihara datuk dan nenek yang telah tua. Sejak kebelakangan ini telah beberapa kali berita anak ditinggalkan ibu, mungkin kerana tidak sanggup menanggung kesusahan hidup.
Apakah tidak ada lagi rasa kasih sayang walau secebis pun lalu ditinggalkan begitu sahaja.Inilah akibatnya apabila nilai kemanusiaan semakin terhakis dalam diri segelintir manusia. Anak tidak lagi dianggap amanah Allah, masalah rumahtangga diatasi dengan mengambil jalan pintas meninggalkan anak-anak tanpa memikirkan kesan ke atas psikologi anak yang sedang membesar.
Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, bersedialah dari segi psikologi supaya sanggup memikul tanggung jawab sebagai ibu bapa dan mengharungi cabaran hidup yang bukan boleh dipandang remeh

Saturday, March 20, 2010

KE MANA HALA TUJU SELEPAS SPM

Lega....setelah beberapa hari mengadap angka sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur, akhirnya analisis SPM sekolah tahun 2009 selesai juga. Mujurlah keputusan SPM yang diumumkan hampir dengan cuti pertengahan semester memberi ruang untuk menyiapkan kerja dengan lebih tenang.
Melihatkan peratusan kecil yang berjaya dengan sekurang-kurangnya 1A- dan membandingkan pula dengan seramai 7 987 orang calon sekolah peringkat nasional yang berjaya mendapat straight A dalam semua mata pelajaran, hati menjadi sedih dan sayu. Berbekalkan 'kejayaan" 1E/2E/3E dan lain-lain G, ke manakah hala tuju mereka selepas ini. Malangnya golongan ini masih mampu bergelak ketawa tanpa sedikit pun rasa terkilan atau bersalah terhadap ibu bapa apa lagi terhadap bangsa dan negara.Di manakah kedudukan mereka berbanding 7 987 orang yang berjaya?. Mereka tidak pernah memikirkan....kerana itu mereka tidak mampu untuk bersedih dan menganggap apa yang diterima itulah takdirnya.Mudahnya menjadi orang yang tidak sensitif berbanding menjadi orang yang sensitif dan peka dengan perkembangan semasa.
Di saat kita seronok merayakan kumpulan kecil yang berjaya, apakah kita terlupa kepada ratusan ribu yang gagal atau kurang berjaya.Belum lagi diambil kira jurang perbezaan pencapaian bandar dan luar bandar yang masih jauh, dan golongan luar bandar semestinya majoriti Melayu/Bumiputera.
Golongan seramai 7 987 orang ini tidak dapat menjamin kesejahteraan negara jika dibandingkan jumlah calon sekolah seramai 406 420 orang, ada ratusan ribu lagi yang kurang berjaya yang bakal menjadi beban bukan sahaja kepada ibu bapa malah kepada negara dan bangsa. Bagi mereka yang tidak layak atau tidak mahu menyambung pelajaran, bagaimana hendak memberi peluang untuk mereka mendapat latihan kemahiran seterusnya memasuki alam pekerjaan. Golongan ini tidak wajar terus bekerja kerana rata-rata mereka kurang motivasi dan disiplin diri, mampukah mereka menyahut cabaran alam pekerjaan terlalu awal seterusnya menjadi pekerja yang berdedikasi. Akhirnya lari dari satu pekerjaan ke satu pekerjaan, tanpa kewangan yang kukuh, mempunyai keluarga dan rentetan masalah ini juga membawa kepada rapuhnya institusi keluarga seterusnya merumitkan lagi masalah sosial yang melanda masyarakat masa kini.

Saturday, March 6, 2010

MALANG SUNGGUH NASIB SIKECIL

Tatkala kisah Shafia Humairah semakin "sejuk" diperkatakan, hati ini masih panas memikirkan jenayah yang berlaku secara terang-terangan tetapi tiada pihak yang membantu, seolah-olah menghalalkan segala perbuatan jenayah di depan mata.
Kematian kanak-kanak malang itu merupakan petanda bahawa masyarakat perlu peka dengan apa yang berlaku di persekitaran khususnya kanak-kanak yang perlu dilindungi walau dalam apa keadaan sekali pun. Apabila kes yang membabitkan kanak-kanak, masyarakat wajar menjadi "sangat sibuk menjaga tepi kain" orang supaya kes penderaan kanak-kanak tidak lagi berulang.
Kanak-kanak ibarat tunas yang baru berputik, menjadi pohon rimbun menghijau, oleh itu wajarlah mereka dilindungi dan dibimbing untuk terus hidup di muka bumi ini dan menikmati kehidupan sebaik mungkin.