Sunday, November 28, 2010

CATATAN HAJI 2010

SERIBU PERSOALAN

Pulang ke tanah air dengan seribu satu persoalan yang tak terjawab. Apakah perjalanan kehidupan akan berubah secara drastik atau kembali menjadi insan yang sama tingkah laku dan pemikirannya?. Apakah amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci akan berterusan hingga ke tanah air dan seterusnya hingga ke akhir hayat?. Apakah titisan air mata pilu semasa lambaian terakhir meninggalkan Kaabah lama-kelamaan akan hilang auranya?. Yang tinggal hanyalah gelaran Haji/Hajjah di awal nama setiap kali ditulis. Saya tidak mahu diuji sedemikian. Biarlah ibadah haji ini mampu mengubah sempadan masa. Jika tidak saya akan menjadi orang yang paling rugi. Apa tah lagi usia yang tinggal kelihatan lebih singkat berbanding usia yang telah berlalu. Ya Allah berilah taufik dan hidayahMu.

" Ya Allah, kami menunaikan fardhu Haji semata-mata kerana ingin menyampaikan rasa syukur kepadaMu. Ya Allah, kami mahu menjadi manusia yang lebih baik di sisiMu.
Berikanlah kebahagiaan dan rezeki yang halal kepada kami sekeluarga. Jauhi kami daripada mereka yang suka mencela dan membuat fitnah.
Berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci.
Ya Allah jika kami dipanggil olehMu, masukkanlah kami di kalangan orang yang beriman"

KUASA DOA

Demam, batuk dan selsema adalah fenomena biasa ketika di Tanah Suci. Syukurlah kami hanya diserang secara minimum, tidak perlu ke klinik yang giliran mengambil ubatnya mencecah nombor 100 lebih!. Cuma beberapa hari sebelum wukuf abang ke klinik untuk mendapatkan stok ubat sebagai persediaan jika apa-apa berlaku nanti. Keyakinan terhadap kuasa doa dan khasiat air zam-zam menyelamatkan kami dari menelan pelbagai jenis ubat. Alhamdulillah.


SEMPADAN MASA

Ibadah haji dikatakan akan mengubah sempadan masa. Ianya amat subjektif dan berbeza untuk setiap orang. Contohnya, bagi seorang perokok sempadan masanya adalah dari 'masa merokok' kepada masa 'tidak merokok'. Seorang yang suka melengahkan sembahyang sempadan masanya adalah 'masa suka melengahkan sembahyang' kepada 'masa menyegerakan sembahyang'.Sempadan masa bagi orang yang jarang sembahyang sunat adalah 'masa jarang sembahyang sunat' kepada 'masa memperbanyakkan sembahyang sunat'. Bagi saya sempadan masa adalah 'masa seorang yang terlalu sibuk dengan urusan dunia' kepada 'masa seorang yang lebih seimbang urusan dunia dan akhirat'. Adakah ianya akan menjadi kenyataan, diri sendirilah yang akan menentukan. Tanyalah diri sendiri sempadan masa yang mana anda hendak berada.

HAJI MALBORO

Rokok adalah haram di Makkah dan tidak boleh didapati di pasaran terbuka. Tetapi perokok pastinya seorang yang licik, apabila bekalan stok rokok yang dibawa dari rumah telah habis, mereka tahu di mana mencari penjual rokok. Maka berkepul-kepullah asap rokok keluar dari mulut orang yang berwajah selamba.Syukurlah abang yang telah merokok seawal usia 16 tahun tidak menyentuh rokok sepanjang berada di Tanah Suci. Memang membimbangkan kerana rakan sebilik semuanya perokok tegar dan merokok di dalam bilik. Perokok-perokok ini nampaknya tidak sedar asap yang mereka hembus menambahkan lagi bebanan udara kota Makkah yang sedia terdedah dengan pelbagai kekotoran jutaan manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia.
Kepada abang saya menghantar nota:
"Semuga diberikan haji mabrur. Tanda haji mabrur, selepas pulang lebih dekat dengan Allah dan tidak melakukan;
i. perkara yang dilarang
ii. perkara makruh*
iii. perbanyakkan amalan sunat
* contohnya merokok
Harap maklum"

KAMERA OH KAMERA

Antara perkara yang tiada pada jemaah haji zaman dahulu berbanding sekarang ialah kamera. Ramai jemaah membawa kamera atau sekurang-kurangnya telefon bimbit berkamera. Nampaknya bergambar menjadi agenda penting jemaah haji masa kini sehingga ada kalanya nampak ianya mengatasi kepentingan agenda beribadah. Lucu sekali kamera tiada dalam list barang yang akan kami bawa. Malah telefon yang dibawa hanyalah telefon lama yang dibeli entah berapa tahun yang lalu. Jadi tidak ada sebarang gambar untuk diabadikan apa lagi untuk dilihat oleh anak-anak, untuk ditayangkan dalam facebook jauh sekali. Namun tiada sebarang rasa terkilan di hati kerana tidak merasakan gambar adalah sesuatu yang penting. Bergambar tidak salah tapi berpada-padalah, janganlah aktiviti bergambar mengatasi aktiviti beribadat. Semasa ziarah di Bukit Uhud, jelik melihat jemaah yang asyik bergambar dan tidak memperdulikan penerangan mutawwif yang amat luas ilmunya sehingga mutawwif dalam nada sinis berkata menuntut ilmu sunnah nabi, ambik gambar bukan sunnah nabi.

SHOPPING SHOPPING SHOPPING

Samada di Madinah atau Makkah aktiviti shopping amat meriah sekali. Memang menggugat iman kerana longgokan barang yang ditawarkan amat banyak dengan harga yang murah. Berbondong-bondonglah plastik yang dijinjing naik ke bilik.Tidak rasa rugikah membeli barang yang sememangnya murah tapi kualiti teruk sekali. Sehelai abaya SR 15-20, logik sungguh sebab kainnya seperti kain langsir dan tiada jahit tepi. Adakah baju sebegitu nak dihadiahkan kepada cucu/anak buah/sedara mara, akan dipakai kah agaknya. Beli juga abaya untuk anak-anak tapi di dalam kedai dengan harga sederhana tapi bolehlah dikatakan 'pakaian'. Barang-barang keperluan harian dibeli di kedai SR2, bolehlah bajet sikit2 sebab beli di kedai biasa kadang-kadang pak arab ni main sebut aja harga, tak konsisten langsung. Perhiasan/cerek/cawan... minta maaf tak berminat. Karpet... jauh sekali, lucunya ada yang membeli karpet, bagi yang tak membeli tak usahlah terasa rugi kerana karpet itu tak menyumbang langsung ke arah haji mabrur. Keghairahan membeli menyebabkan barangan terpaksa dipos dengan nilai antara SR 300 - 500. Tak sanggup rasanya sedekah kat syarikat kurier sebanyak itu, lebih baik sedekahkan pekerja Masjidil Haram yang rata-rata wajah mereka menimbulkan simpati kita yang melihat. Cuma menurut pemerhatian, golongan yang amat hebat bershopping ini agak kurang ke masjid, nampak seperti mengata tetapi itulah kenyataan. Mungkin keghairahan membeli belah membuat kita lalai dan alpa. Tak rasa sayangkah mereka, entahlah sukar difahami. Ada juga membeli sejadah, tasbih, kurma, takut orang kata kedekut pulak. Tapi rasanya perbelanjaan di tahap sederhana, agar tidak menjejaskan keberkatan ibadah.

SAF

Di Malaysia apabila bersembahyang jemaah kita amat mementingkan kesempurnaan saf. Nabi saw pernah menyebutkan bencana yang besar akan menimpa umat Islam yang mencuaikan saf ketika solat. Apa yang berlaku di sini bukan setakat berlakunya percampuran saf lelaki dan perempuan, saf juga kelihatan renggang dan bengkang bengkok yang melambangkan hati dan muafakat jemaah. Sabda Nabi yang bermaksud " Luruskanlah saf kamu, janganlah kalian membengkokkan saf, nanti hati-hati kamu akan berselisih". Telah dicat garisan lengkung yang menandakan arah kiblat, tetapi ada yang tidak mengikut garisan tersebut dengan betul. Tidak hairanlah umat Islam masa kini tidak bersatu padu.

DUIT SALAM
Lumrahnya setiap orang yang ingin mengerjakan Haji ramailah yang datang bersalaman beserta "duit salam" terutamanya ketika kenduri. Banyak sedikitnya duit salam yang terkumpul bergantung kepada beberapa faktor, apa lagi kalau yang berstatus tinggi, lagi tinggilah duit salam yang terkumpul. Memerhatikan gelagat jemaah haji yang tidak habis-habis 'bersopink' untuk si polan si polan, hati mula terasa gusar. Mestikah kita membelikan cendera mata/hati untuk setiap orang yang menghulur. Seperti kami sendiri menerima kurang lebih RM 4 XXX duit salam, tak kan semuanya nak dibeli hadiah.... aduh. Lalu saya memberitahu suami agar sama-sama mendoakan kesejahteraan orang yang telah memberi sumbangan. Saya pasti mereka tidak mengharapkan sebarang pembalasan. Jadi bagi yang mengerjakan Haji, tumpukan kepada amal ibadah, usahlah gusar mengira-ngira siapa lagi yang belum kita belikan cenderamata. Beberapa utas tasbih murah yang dibeli kami berikan kepada mereka yang datang ke rumah menziarahi kami. Ringkas kata mana yang ada adalah

Friday, November 26, 2010

TRILOGI HAJI

Alhamdulillah... selamat pergi selamat kembali, dapat berjumpa kembali anak-anak tersayang yang telah 45 hari ditinggalkan. Sempurna sudah rukun Islam yang ke -5, terima kasih kerana menjemput kami ya Allah. Jika ada kelapangan waktu, kewangan dan kesihatan, kami pasti kembali.

Kongsi pengalaman bersama Trilogi Haji dan ambil pengajaran dari Catatan Haji 2010. Jika baik jadikan teladan dan jika buruk jadikanlah sempadan.

TRILOGI HAJI PART 1 (MADINAH AL-MUNAWARRAH)

09.10.2010 (Sabtu) - berakhir sudah satu penantian


Setelah hampir 5 bulan menghitung hari, kini sampailah masa berangkat ke Tanah Suci. Setelah mendaftar masuk jam 6.30 pagi, barulah jiwa terasa tenang berbanding sebelumnya kerana kesesakan manusia di Kelana Jaya.Anak-anak telah kuarahkan balik supaya kami tidak risau, selamat tinggal semua, berdoalah kepada Allah agar kita dapat berjumpa lagi. Sebaik sahaja flight berlepas jam 11.15 tengahari, jam diputar kepada 6.15 pagi waktu Arab Saudi dan dijangka tiba jam 3.15 petang. Di sebelahku seorang mak cik tua berumur 80 tahun, syukur Ya Allah kami menjadi tetamuMu lebih awal berbanding mak cik itu dan juga kebanyakan teman yang sewaktu dengan kami.
3.15-6.15 petang - urusan imigresen di Madinah, boleh tahan lama... mungkin ini dugaan pertama.
7.00 - sampai di hotel Movenpick Madinah, dah terlepas Maghrib. Bersiap segera kerana waktu Isyak akan masuk jam 7.23. Pertama kali menjejak Masjid Nabawi,terasa tidak berpijak di bumi nyata. Terima kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan.
9.30 malam - time to sleep. Aktiviti untuk hari ini berakhir sudah.


"Ya Allah aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau beri kepada kami.Terimalah kami sebagai tetamuMu yang paling istimewa. Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan.
Engkau peliharalah kesihatan dan keselamatan anak-anak kami, Amir, Aqilah,Ainunul,Aliah,Akmal dan Aid. Janganlah dicetuskan rasa rindu mereka kepada kami sepanjang kami menjadi tetamuMu Ya Allah.
Berikanlah kejayaan yang cemerlang kepada mereka di dalam pelajaran dan bukakanlah pintu hati mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah.
Ya Allah Engkaulah balaslah budi baik ibu, adik-adik dan ibu saudara yang sanggup menjaga anak-anak kami sepanjang ketiadaan kami juga kepada rakan-rakan sejawat yang membantu kerja kami sepanjang ketiadaan kami.
Ya Allah berikanlah perasaan kasih sayang, saling bermaafan dan tidak cepat tersinggung antara kami suami isteri.
Ampunilah kami Ya Allah."

10.10.2010 (Ahad) - semangat membara


Malam terasa panjang, jam 12.00 dah terbangun. Jam 1.00 a.m dah mandi. Peliknya mandi apa pagi-pagi begini. Memenuhi masa dengan sembahyang2 sunat, membaca Al-Quran dan buku favourite Travelog Haji. Jam 4.00 a.m azan pertama berkumandang menandakan 1 jam lagi waktu solat Subuh akan masuk. Jemaah sudah berdedai-dedai turun ke masjid, adakah kerana semangat membara atau sememangnya mata yang sudah tidak mahu tidur. Semuga semangat membara ini akan bertahan untuk tempoh 44 hari lagi.
7.30 a.m - ziarah dalam.Dibawa ke Perkuburan Baqi, makam Rasulullah, Saidina Umar dan Saidini Abu Bakar. Berpeluang melakukan beberapa sembahyang sunat di kawasan Raudah, salah satu taman syurga.Terima kasih ya Rasulullah, agama yang kau bawa menyuluh hidup kami ke jalan benar.

11.10.2010 (Isnin) - ziarah luar


7.30 am - ke masjid Kuba' - mendirikan solat di masjid ini sama pahalanya dengan satu umrah. Kemudian ke Jabal Uhud, terdapat makam syuhada Uhud seperti Hamzah bapa saudara Rasulullah saw, Abdullah Jahasy dan Mas'ab Umair. Melalui masjid Kiblatain

12.10.2010 (Selasa) - shopping


Jemaah haji mula membawa plastik berbondong-bondong, mula sibuk membuat pengeposan. ya Allah jauhilah kami dari perbelanjaan yang sia-sia. Kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah, janganlah dipalingkan niat kami.

13.10.2010 (Rabu)


Beli 4 buah Al Quran untuk 4 little princesses.
Tumit mulai merah dan pecah, terasa sakit untuk berjalan.

14.10.2010 (Khamis)

Subuh-hanya duduk di luar masjid kerana uzur. Simen terasa amat sejuk.
Zuhur, Asar, Maghrib - duduk di luar masjid
Isyak - duduk di lobi hotel kerana jemaah bertambah ramai/sesak

15.10.2010(Jumaat)

Mulai bosan dengan keuzuran, waktu sembahyang terpaksa duduk di lobi. Semuga semuanya cepat berakhir

16.10.2010 (Sabtu)

Tawakkal duduk dalam bilik aje. Membaca-penat-tidur-membaca-penat-tidur.Itu sahajalah kitaran hidupku.

17.10.2010 (Ahad) - Selamat tinggal Madinah bumi aman


8.00 am - ziarah Masjid Nabawi, hanya berdiri di luar. Ya Allah janganlah jadikan ziarahku ini yang terakhir, limpahkanlah rezeki yang halal agar aku dapat menjejaki lagi masjid yang mulia ini.
7.00 pm - menaiki bas untuk ke Makkah. Setelah 1 jam berada dalam bas ber air-cond yang begitu 'hot-cond' barulah bas bertolak. Berhenti 4 kali, niat ihram di Bir Ali, kanvas penutup beg tertanggal, berhenti di RR, imigresen.Cabaran mula terasa.

TRILOGI HAJI PART 2 (MAKKAH Al-MUKARRAMAH)
(FASA SEBELUM WUKUF)

18.10.2010 (Isnin)


5.00 am sampai Makkah. Syukur bas sampai juga ke destinasi.Ditempatkan di Hotel Janadriyah. Hati mula tercabar tapi harus kuat semangat, datang ke sini hanya kerana Mu Ya Allah. Suasana Makkah amat berbeza dengan Madinah. Sedih teringat Aid, Amal sms suruh telefon sebab Aid menangis tapi tak baca sms tu hingga dia tertidur.Ikut juga ke Masjidil Haram sampai ke tempat sa'ie sahaja. Melihat Kaabah untuk pertama kali.Ya Allah tambahkan rumah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan.
9.30 pm - ke TH bayar Dam Tamattuk SR 350

19.10.2010 (Selasa)
20.10.2010 (Rabu)
- masih belum dapat bersembahyang

21.10.2010 (Khamis)


Bangun jam 1.45 am dan keluar ke masjid jam 2.00 am. Tawaf umrah dan sa'ie selesai jam 4.00 am.Dapat solat sunat di dalam kawasan Hijir Ismail.

22.10.2010 (Jumaat)


Memulakan hari seperti biasa, tetapi keluar 2.30 sebab abang pulak lewat bangun. Sentiasa jadi orang pertama bangun dan mandi. Zohor tak sembahyang di masjid, ada ceramah khas wanita di surau hotel.Dapat telefon dengan akak, nun dan aid, miss u all so much.
Asar - Isyak - berada di Masjidil Haram

23.10.2010 (Sabtu)

Hari ni dapat dua kali tawaf, Suboh dan Zohor. Tawaf tengahari memang amat mencabar kerana panas yang amat terik.

24,10.2010 (Ahad)


Memulakan hari seperti biasa. Hanya naik van untuk solat Zohor, yang lain semua naik kaki sejauh 800 meter.
2.00 am - 6.30 am - Suboh
6.30 am - 11.00 pm- bilik
11.00 pm - 8.00 pm - Zohor hingga Isyak
8.00 pm - 2.00 am- bilik


"Ya Allah, berikanlah rasa cinta yang mendalam terhadap Masjidil Haram agar kami tidak lalai dan malas beramal ibadat. Berilah kami kesihatan yang terbaik agar dapat memenuhi ruang masa dengan beramal ibadat. Berilah kami ilham untuk melakukan yang terbaik. Engkau bantulah kami. Ampunilah kami Ya Allah"

25.10.2010 (Isnin)


Memulakan hari lebih awal 1.45 am untuk ke Tana'im untuk melakukan umrah sunat.Selesai sa'ie jam 4.30am, tertidur sekejap kerana keletihan yang teramat. Telefon Aliah dan Aid sebab mereka nak exam.

26.10.2010 (Selasa)


Aktiviti seperti biasa. Memang berazam nak berada di Masjidil Haram semaksimum masa yang mungkin.
Sementara tunggu Asar, keluar minum di Hotel Safwa Royale Orchid, ada restoran Malaysia iaitu D'Saji, dapatlah menikmati roti canai original di sana.
Telefon Aid lagi, egonya dia tak mahu mengaku rindukan ibu.

27.10.2010 (Rabu)


Bangun pagi terasa sakit tekak yang teramat sangat. Balik dari masjid, beli Strepsil dengan harga dua kali ganda berbanding Malaysia (tak sempat nak beli sebelum berangkat). Minta sedikit asam jawa dengan Mak Cik Ramlah untuk minum airnya. Gagahkan juga ke masjid untuk Zohor-Isyak.

28.10.2010 (Khamis)


Alhamdulillah... sakit tekak mulai reda. Syukur tak payah ke klinik yang nampaknya sentiasa meriah dengan pesakit, cuma selsema agak makin menebal.
Makan roti canai lagi di D'Saji, terkenang-kenang kelazatannya.
Balik dari solat Isyak, keadaan tidak lagi seperti biasa, mula bersesak-sesak mulai dari pintu Masjidil Haram sehinggalah ke tangga hotel. Jalan raya juga hiruk pikuk dengan kenderaan. Tidak lagi menjadi orang pertama sampai ke bilik kerana perjalanan yang tidak lancar.

29.10.2010 (Jumaat) - hari ke -20


Mulai hari lebih awal 1.00 am untuk ke Tana'im melakukan umrah sunat.
Batuk mula berbunyi selepas beberapa hari tekak terasa sakit. Sembahyang di kawasan Pintu King Aziz walau pun agak jauh kerana di sini jemaah agak terkawal, tiada percampuran saf antara lelaki dan perempuan. Tea break D'Saji lagi. Abang belanja sebab dah khatam Al-Quran.

30.10.2010 (Sabtu)

Tawaf sunat semakin mencabar kerana jemaah semakin bertambah ramai.

31.10.2010 (Ahad)


Keadaan masih mengizinkan untuk tawaf sunat. Masa yang panjang di masjid dipenuhi dengan solat hajat untuk setiap orang anak , perkara yang tidak mungkin dapat kulakukan di Malaysia. Hari ni cuba roti telur pulak di D'Saji. Belanja abang pulak sebab khatam Al-Quran, Alhamdulillah.

01.11.2010 (Isnin)


Tawaf sunat habis 3.30 am, lewat sikit sebab keluar lewat 15 minit, jemaah pula semakin ramai. Abang beli sehelai jubah warna gold di Hotwel Safwah. Belum decide nak beli jubah mana, masih survey. Entah kenapa kedekut sangat nak beli, mungkin awal-awal lagi dah berdoa tak nak berbelanja yang sia-sia.

02.11.2010 (Selasa)


Bangun 1.45am, rasa kepala pusing sikit tapi masih ok.
Zohor - mulai hari ni jalan kaki kerana jalan ke masjid telah ditutup untuk kenderaan. Petang badan rasa nak demam, telan sebiji panadol dah ok.
Maghrib-Isyak - hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja selesai solat Maghrib, sekumpulan jemaah meluru ke Pancur Emas untuk mandi dan ada yang terbunuh (kes terlalu taksub). Badan rasa tak sedap seram sejuk.

03.11.2010 (Rabu)


Pagi sakit kepala yang teramat sangat, abang pergi masjid seorang. Jam 4.00 am makan ubat yang dibawa dari rumah, hopefully tak perlu ke klinik. Then tidur,tidur,tidur sampai abang balik dari masjid 6.00 am breakfast. Tidur lagi hingga jam 12.00 pm. Zohor di bilik sahaja.
Jam 2.00 pm gagahkan diri ke masjid, Alhamdulillah dapat bertahan Asar hingga Isyak

04.11.2010 (Khamis)


Keluar jam 2.10 am, keadaan tak mengizinkan hanya abang tawaf sunat seorang. Pergi tingkat 1 cuba tawaf sebelah atas, satu pusingan sahaja lebih kurang 10 minit.
11.00 am biasanya makan sebelum ke masjid tapi selera tak tajam, bawa nasi ke masjid makan lepas solat Zohor
Sementara tunggu Asar, ke Hotel Safwa beli tasbih baru, tasbih kristal yang dibeli sempat guna 2 hari, cicir tak tau di mana. Telefon Aid, markah Matematik 99%, mesti kes careless tapi hadiah dah beli.
Malam berakhir awal, jam 9.15 pm dah tidur.

05.11.2010 (Jumaat)


Keluar as usual 2.00 am, tapi tak buat tawaf sunat kerana keadaan nampak terlalu sesak. Penuhi masa dengan solat-solat sunat dan Al-Quran.
Akmal sms semua ada di kampung cuti Deepavali.

06.11.2010 (Sabtu)


Duduk di Dataran Kaabah tunggu abang tawaf sunat, otw keluar jumpa Mak Ngah dan Pak Ngah. Sedekah seorang tua dari Morocco tasbih sebab dia asyik memerhatikan tasbih yang dipegang, rasa kesian pulak, kena beli tasbih lagi lepas ni.
Ingat nak sembahyang di 3rd floor tapi simen terlalu sejuk. Beralih tempat sembahyang di pintu An-Nadwa Bridge, di sini agak lapang kerana jemaah kurang menggunakan pintu ini kerana tiada hotel berdekatan.
Ke D'Saji lagi menikmati roti canai.

07.11.2010 (Ahad)- hari ke 30

08.11.2010 (Isnin)


Terlewat 15 minit, terjaga bila abang ketuk pintu. Hanya duduk solat sunat di dataran, abang tawaf sunat seorang.
Selepas Zohor ke Hotel Safwa beli 2 helai jubah hitam untuk diri sendiri dan Anor, SR 120 per piece. Abang kata tak apa beli mahal sikit kerana dah penat beribadah, jangan asyik membeli tapi amal ibadah kurang.

09.11.2010 (Selasa)


Lewat 20 minit dari biasa, abang pulak yang lewat.Rutin hidup seperti biasa, cuma dalam perjalanan balik dari solat Isyak, entah mengapa badan terasa lemah tak bermaya, berhenti beli ais krim baru pulih tenaga.

10.10.2010 (Rabu)


Tawaf sunat di tingkat 1, mengambil masa 1 jam 10 minit. Alhamdulillah mungkin dah biasa berjalan kaki stamina maintain.
Keluar rehat tidak ke Hotel Safwa seperti kebiasaan tetapi ke hotel sebelah (Twin Tower yang menempatkan jam tertinggi dunia) untuk mencari toilet kerana toilet di Hotel Safa juga telah sesak. Toilet besar dan selesa tapi lokasi agak jauh, apalagi toilet lelaki dan perempuan di aras berbeza, tak pergi lagilah ke sini. Toilet masjid sudah lama tidak masuk kerana kesesakan terlampau sehingga pernah menitiskan air mata, bingung memikirkan bagaimana nak masuk. Berada di masjid untuk tempoh yang lama pastinya tidak dapat mengelak untuk ke tandas. Doa perlu dibaca untuk memohon pertolongan Allah agar dipermudahkan.


" Ya Allah yang Maha Hidup dan Maha Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan di saat yang amat genting"


Amal sms risaukan keputusan UPSR, tenangkan dia tetapi hati sendiri sesekali memang berdebar.

11.11.2010 (Khamis)

- ulang tahun perkhwinan ke - 22, plan nak makan chicken broast yang amat popular tapi sebab abang demam, kurang selera tangguh dulu.
Abang demam pagi ni tapi masih larat untuk jalan kaki ke masjid.
Gelisah tunggu Amal kenapa tak sms. Oleh kerana dalam bilik tiada line, turun ke bawah untuk telefon. Alhamdulillah, Amal dapat 5A, menitis air mata. Terima kasih Ya Allah , salah satu doaku yang berderet itu telah Kau makbulkan. Abang terus baik demam mendengar berita gembira itu.
Zohor - abang dah sihat. Waktu rehat ke Hotel Safwa, beli termos, plan nak bawa bekal air panas, mudah sikit tak perlu keluar untuk tea break.

12.11.2010 (Jumaat)


Keluar jam 2.05 am, lewat 5 minit dari kebiasaan. Ditakdirkan mungkin inilah amal ibadat terakhirku secara rally di Masjidil Haram kerana waktu uzur telah pun sampai. Syukur kerana kebimbanganku tidak dapat tawaf haji (lebih parah kalau kena tangguh flight) berakhir memandangkan 2 hari lagi akan ke Arafah. Yakin dapat tawaf haji dan tawaf wida'. Terima kasih lagi Ya Allah segala-galanya telah Kau atur dengan cantik sekali. Keluar ke lobi untuk beli beberapa helai telekung, (beli telekung tak membazir kan). Ke kedai beli roti yang biasanya satu berharga SR 1.00 tapi dah naik SR 1.50, peniaga selamba cakap musim haji naik harga, lepas haji turun balik, Ali Cafe produk Malaysia ada jual tapi SR 40.00 sepeket, mujur bawak banyak stok tapi dah putus, beli juga single pack, dah kopi lain tak boleh minum, pening.

13.11.2010 (Sabtu)


Abang demam dan buat pertama kalinya tak pergi masjid selama 27 hari berada di Makkah. Turun ke lobi beli breakfast, nasi kerabu.
Zohor - abang dapat ke masjid semula setelah demam berkurangan, hantar sampai kat lobi.
Malam- saja duduk-duduk di lobi ada orang sedekah kurma dan roti.

14.11.2010 (Ahad)


Disebabkan tak sembahyang jadi tugasku membeli breakfast pagi-pagi. Beli nasi lemak untuk abang dan for me of course nasi kerabu, itu sahaja yang menarik selera.Seriknya nak beli orang terlalu sesak, berebut-rebut, lambat memang putih mata.
Waktu Asar ikut abang ke Masjidil Haram, duduk di tempat sa'ie, dapat juga lihat Kaabah berbanding berlingkar dalam bilik yang amat menjemukan dan membekukan otak. Balik makan chicken broast yang telah lama dirancang tapi tak kesampaian.
Mujur digerakkan hati abang tak sembahyang maghrib di masjid kerana bas dijangka 8.00 pm tapi jam 6.00 pm dah kena naik bas. Tiba di Arafah jam 9.00 pm, sepanjang perjalanan dapat melihat ramainya orang hanya berjalan kaki, seharusnya kita bersyukur, tak perlulah merungut jika bas lambat dan sebagainya.

Doa sebelum wukuf

"Ya Allah, permudahkanlah urusan kami di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Berikanlah kesihatan yang terbaik semasa kami di sana. Berikanlah kemudahan bilik air kepada kami agar ia tidak menjadi satu masalah besar. Tetapkanlah hati kami untuk beramal ibadat.Kuncilah mulut kami daripada percakapan yang sia-sia. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang dan membuang masa. Lindungilah kami daripada sebarang mala petaka. Aku berserah kepada Mu Ya Allah".

TRILOGI HAJI PART 3
(FASA SEMASA DAN SELEPAS WUKUF)


15.11.2010 (Isnin - 9 Zulhijah)


Wukuf di Arafah
Jam 2.00 am dah terjaga, bilik air crowded, ada hikmahnya tak boleh sembahyang, gosok gigi dan basuh muka aja di tepi khemah.
6.30 am duduk di luar breakfast dengan abang.Tandas pun dah reda bolehlah masuk.Mereka sembahyang jamak Zohor dan Asar. Lepas Zohor duduk di luar khemah dengan abang sehinggalah bas sampai jam 5.10 pm.
(* waktu wukuf ialah dari gelincir hingga terbenam matahari iaitu waktu paling afdal berdoa kerana langit dikatakan terbelah dan 30 minit sebelum Maghrib dosa-dosa akan diangkat ke langit)
Sampai Muzdalifah jam 5.45 pm, mereka sembahyang jamak Maghrib dan Isyak.Duduk di atas tikar sehingga jam 11.45 pm. Masa menunggu terasa amat panjang, mungkin kerana kesesakan dan tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana setiap inci tanah telah dipenuhi manusia. Pungut 7 biji batu sahaja untuk melontar.Alhamdulillah dapat menaiki bas trip pertama ke Mina, ada yang terpaksa bertahan sehingga suboh.

16.11.2010 (Selasa 10 Zulhijah)

12.30 am sampai di Mina. Melontar Jamratul Kubra jam 1.30 am, perjalanan sejauh 2.9 km. Selesai melontar jam 3.30 am, dugaan menimpa, mutawwif tersasar jauh terpaksa berpatah balik jam 4.30 am baru sampai ke khemah. Habis semua tenaga, hanya water cooler yang disediakan sepanjang jalan membantu agar tidak pengsan di tengah jalan. Anggaran perjalanan pergi balik termasuk jarak yang tersasar rasanya tidak kurang 10 km. Ada jemaah yang hilang sabar dan memarahi mutawwif dengan kata-kata yang tidak wajar bagi seorang yang baru sahaja bertahallul, sudah lupakah dia di mana dia berada dan kenapa dia berada di sini, manusia memang sukar dimengertikan.

Tidur yang tak berapa nak tidur, aneh sekali tidak pula keletihan atau mengantuk yang terlampau. Kalau di Malaysia tentunya sudah berdengkur atau sekurang-kurangnya terjelepok keletihan. Berbanding Arafah dan Muzdalifah, berada di Mina paling mencabar emosi sehingga menitiskan air mata. Mungkin terlupa atau terlalai, doa ini dibaca

"Ya Allah kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah. Jangan Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau uji kami dengan perkara2 yang boleh merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami Ya Allah"

17.11.2010 (Rabu 11 Zulhijah)

Melontar ketiga-tiga jamrah selepas Suboh, sampai khemah semula jam 6.45 am. Alhamdulillah, segalanya selamat dan mudah, rasa seronok yang teramat sangat.

Menghabiskan masa siang di dalam khemah, sesekali mundar mandir di luar khemah. mandi jam 9.15 pm, dah tak tahan sangat, mujur tak lama menunggu giliran.

18.11.2010 (Khamis 12 Zulhijah)

Melontar 2 selepas Suboh tapi jam 3.30 am dah keluar untuk mengelak kesesakan. Melakukan lontaran sebaik sahaja azan ke dua suboh, balik ke khemah jam 6.30 am. Bersiap-siap untuk pulang ke Makkah kerana kumpulan kami membuat Nafar Awal. Bas yang ditunggu tak kunjung tiba sehinggalah jam 10.30 am, Alhamdulillah dapat menaiki bas, tapi simpati pada yang tinggal terpaksa menunggu trip ke dua kerana bas hanya ada 4 buah.

19.11.2010 (Jumaat 13 Zulhijah) - hari ke 33 di Makkah

Ke Masjidil Haram jam 12.30 am untuk tawaf Haji, tak boleh berlengah lagi kerana orang pastinya akan bertambah ramai. Sembahyang hajat dan taubat dahulu sebelum tawaf memohon agar dipermudahkan urusan yang amat penting ini. Alhamdulillah... seramai mana umat pun yakinlah pasti ada laluan untuk kita. Selesai sa'ie jam 3.30 am.Tak tunggu Suboh kerana tiada daya lagi, hanya solat di bilik. Tidur hingga jam 10.00 am, mimpi pelbagai mimpi antaranya mimpi aruah abah. Setiap malam sementara menunggu Isyak, baca Surah Yassin untuk abah.

2.30 pm - selepas tenaga agak pulih ke masjid semula untuk solat Asar - Isyak.

20.12.2010 (Sabtu)

Plan nak keluar 12.00 am dan tidur di masjid tapi tak jadi pulak.

Hari terakhir di Masjidil Haram. Walau pun esok masih ada, kami tidak akan dapat lagi bersembahyang penuh 5 waktu di sini. Air mata mula menitis setiap kali sembahyang. Jam 10.30 am dah keluar ke masjid walau pun Zohor lambat lagi, bosan pulak di hotel orang sibuk menguruskan beg dan timbang sampai terlupa inilah peluang terakhir merebut pahala 100 000 kali ganda, kenapa manusia begitu, tidak diketahui jawapannya.Malam lewat sedikit tidur kerana baru nak packing barang, tak kisah nak timbang2 kerana kami yakin tak akan melebihi had, kalau lebih pun bayar sahaja, kenapa sibuk urusan timbang menimbang hingga tak sempat ke masjid. Rasanya kami orang terakhir packing barang.

21.11.2010 (Ahad)

Suboh terakhir di Masjidil Haram. Zohor tak dapat ke masjid kerana bagasi perlu di hantar ke lantai P. Selesai urusan beg terus ke masjid walau pun Asar lambat lagi, bosannya orang terlalu ghairah nak balik, siapa yang tidak mahu balik tetapi perasaan bercampur baur dengan rasa sayang untuk meninggalkan Makkah.

Ambil tempat di dataran Kaabah untuk memudahkan tawaf wida', malangnya apabila waktu Asar tempat diambil orang hingga tiada ruang untuk bergerak, dugaan terakhir sembahyang di Masjidil Haram. Tawaf wida' mengambil masa hampir 2 jam, manusia seperti air yang melimpah deras, ada kalanya tidak perlu bergerak sendiri, hanya dengan tolakan manusia kami mara ke hadapan. Sukar menggambarkan perasaan ketika mencari ruang untuk keluar dari dataran, beberapa kali menoleh ke belakang sehinggalah Kaabah hilang dari pandangan, air mata bukan sekadar lakonan, hati hanya mampu berkata jemputlah kami lagi Ya Allah.Sembahyang Maghrib di hotel. Jam 6.30 pm bas dah ada, tetapi tidak semudah disangka, hanya pada jam 11.30 pm bas baru bergerak dan perjalanan ke Jeddah yang sepatutnya mengambil masa 1 jam 30 minit berlarutan hinggga 5 jam. Astaghfirullah. Dugaan bukan hanya sebelum dan semasa Haji tetapi juga selepas Haji. Bayangkan hampir 10 jam berada dalam bas yang air cond antara ada dan tidak.

22.11.2010 (Isnin) - hari ke 45

4.30 am selamat juga akhirnya di Madinatul Hujjaj (Jeddah). Satu perjalanan yang amat mencabar kesabaran, mujurlah tertidur agak lama di dalam bas, tidaklah perasan sangat waktu panjang yang dilalui. Ada juga yang membebel marah-marah, sakit telinga juga mendengar tapi apa kan daya manusia memang mudah lupa/lalai. Melelapkan mata seketika antara 7.00 - 7.30 am. Ramai juga yang bersembang-sembang, mungkin kerana Haji sudah selesai, wallahuaalam. Tidak ada topik yang hendak dibualkan, naik ke katil dan menyudahkan bacaan Al-Quran yang hanya tinggal beberapa helai. Alhamdulillah, khatam kali ke dua di Jeddah, terlaksanalah hasrat nak khatam sekurang-kurangnya dua kali untuk tempoh 45 hari. Sesuatu yang tak mungkin terlaksana di Malaysia, nak menghabiskan bacaan 2/3 helai pun payah.

Bertolak ke Lapanganterbang Jeddah jam 11.30 am kerana check in dijangka 3.30 pm. Sekali lagi dugaan menimpa, perlaksanaan tidak semudah perancangan. Hanya setelah 6 jam menunggu barulah selamat memasuki perut pesawat (jam 11.30 pm). Mujur sempat sms Amal beritahu akan lewat sampai.

"Ya Allah berilah kerahmatan kepada kami. Permudahkanlah urusan perjalanan pulang kami. Jauhilah malapetaka semasa dalam perjalanan.Berikanlah perlindungan sehingga kami dapat berjumpa anak-anak, ibu, adik beradik dan saudara mara. Ya Allah Engkau berkati dan ampunilah kami."

Membawa balik bersama 10 buah Al-Quran, 6 buah beli, 2 buah hadiah Arab Saudi dan 2 buah lagi diberi oleh seseorang semasa kami duduk di masjid menunggu solat Maghrib. Alhamdulillah pengorbanan duduk di masjid dari jam 2.00 am - 8.00 am dan 11.00 am - 8.00 pm setiap hari rasanya berbaloi apabila menerima hadiah yang sangat berharga itu. Pada mulanya kami pun agak terpinga-pinga mengapa di antara ribuan jemaah yang berada di dalam masjid, kami yang menjadi pilihan, syukur kepada Allah, insan itu digerakkan hatinya untuk menghadiahkan Al-Quran itu kepada kami.

23.11.2010 (Selasa)

Sampai jam 12.35 pm waktu Malaysia, mereka pun baru sampai, Alhamdulillah tak lama menunggu. Aneh sungguh sampai di sini barulah rasa kepenatan terlampau. Orang pertama dipeluk dan dicium tentulah Aid yang amat dirindui. Nampak bertambah tembam. Singgah sembahyang sunat dan Zohor di masjid dahulu. Jam 3.00 pm selamat sampai ke rumah. Terima kasih semua, hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian. Semuga ada antara adik-beradik akan menyusul ke Tanah Suci dalam tahun terdekat ini, Insya Allah. Hanya satu pesanan, pergilah ketika usia muda dan sihat kerana kekuatan fizikal amat membantu mengerjakan Haji dengan lebih sempurna