SERIBU PERSOALAN
Pulang ke tanah air dengan seribu satu persoalan yang tak terjawab. Apakah perjalanan kehidupan akan berubah secara drastik atau kembali menjadi insan yang sama tingkah laku dan pemikirannya?. Apakah amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci akan berterusan hingga ke tanah air dan seterusnya hingga ke akhir hayat?. Apakah titisan air mata pilu semasa lambaian terakhir meninggalkan Kaabah lama-kelamaan akan hilang auranya?. Yang tinggal hanyalah gelaran Haji/Hajjah di awal nama setiap kali ditulis. Saya tidak mahu diuji sedemikian. Biarlah ibadah haji ini mampu mengubah sempadan masa. Jika tidak saya akan menjadi orang yang paling rugi. Apa tah lagi usia yang tinggal kelihatan lebih singkat berbanding usia yang telah berlalu. Ya Allah berilah taufik dan hidayahMu.
" Ya Allah, kami menunaikan fardhu Haji semata-mata kerana ingin menyampaikan rasa syukur kepadaMu. Ya Allah, kami mahu menjadi manusia yang lebih baik di sisiMu.
Berikanlah kebahagiaan dan rezeki yang halal kepada kami sekeluarga. Jauhi kami daripada mereka yang suka mencela dan membuat fitnah.
Berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci.
Ya Allah jika kami dipanggil olehMu, masukkanlah kami di kalangan orang yang beriman"
KUASA DOA
Demam, batuk dan selsema adalah fenomena biasa ketika di Tanah Suci. Syukurlah kami hanya diserang secara minimum, tidak perlu ke klinik yang giliran mengambil ubatnya mencecah nombor 100 lebih!. Cuma beberapa hari sebelum wukuf abang ke klinik untuk mendapatkan stok ubat sebagai persediaan jika apa-apa berlaku nanti. Keyakinan terhadap kuasa doa dan khasiat air zam-zam menyelamatkan kami dari menelan pelbagai jenis ubat. Alhamdulillah.
SEMPADAN MASA
Ibadah haji dikatakan akan mengubah sempadan masa. Ianya amat subjektif dan berbeza untuk setiap orang. Contohnya, bagi seorang perokok sempadan masanya adalah dari 'masa merokok' kepada masa 'tidak merokok'. Seorang yang suka melengahkan sembahyang sempadan masanya adalah 'masa suka melengahkan sembahyang' kepada 'masa menyegerakan sembahyang'.Sempadan masa bagi orang yang jarang sembahyang sunat adalah 'masa jarang sembahyang sunat' kepada 'masa memperbanyakkan sembahyang sunat'. Bagi saya sempadan masa adalah 'masa seorang yang terlalu sibuk dengan urusan dunia' kepada 'masa seorang yang lebih seimbang urusan dunia dan akhirat'. Adakah ianya akan menjadi kenyataan, diri sendirilah yang akan menentukan. Tanyalah diri sendiri sempadan masa yang mana anda hendak berada.
HAJI MALBORO
Rokok adalah haram di Makkah dan tidak boleh didapati di pasaran terbuka. Tetapi perokok pastinya seorang yang licik, apabila bekalan stok rokok yang dibawa dari rumah telah habis, mereka tahu di mana mencari penjual rokok. Maka berkepul-kepullah asap rokok keluar dari mulut orang yang berwajah selamba.Syukurlah abang yang telah merokok seawal usia 16 tahun tidak menyentuh rokok sepanjang berada di Tanah Suci. Memang membimbangkan kerana rakan sebilik semuanya perokok tegar dan merokok di dalam bilik. Perokok-perokok ini nampaknya tidak sedar asap yang mereka hembus menambahkan lagi bebanan udara kota Makkah yang sedia terdedah dengan pelbagai kekotoran jutaan manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia.
Kepada abang saya menghantar nota:
"Semuga diberikan haji mabrur. Tanda haji mabrur, selepas pulang lebih dekat dengan Allah dan tidak melakukan;
i. perkara yang dilarang
ii. perkara makruh*
iii. perbanyakkan amalan sunat
* contohnya merokok
Harap maklum"
KAMERA OH KAMERA
Antara perkara yang tiada pada jemaah haji zaman dahulu berbanding sekarang ialah kamera. Ramai jemaah membawa kamera atau sekurang-kurangnya telefon bimbit berkamera. Nampaknya bergambar menjadi agenda penting jemaah haji masa kini sehingga ada kalanya nampak ianya mengatasi kepentingan agenda beribadah. Lucu sekali kamera tiada dalam list barang yang akan kami bawa. Malah telefon yang dibawa hanyalah telefon lama yang dibeli entah berapa tahun yang lalu. Jadi tidak ada sebarang gambar untuk diabadikan apa lagi untuk dilihat oleh anak-anak, untuk ditayangkan dalam facebook jauh sekali. Namun tiada sebarang rasa terkilan di hati kerana tidak merasakan gambar adalah sesuatu yang penting. Bergambar tidak salah tapi berpada-padalah, janganlah aktiviti bergambar mengatasi aktiviti beribadat. Semasa ziarah di Bukit Uhud, jelik melihat jemaah yang asyik bergambar dan tidak memperdulikan penerangan mutawwif yang amat luas ilmunya sehingga mutawwif dalam nada sinis berkata menuntut ilmu sunnah nabi, ambik gambar bukan sunnah nabi.
SHOPPING SHOPPING SHOPPING
Samada di Madinah atau Makkah aktiviti shopping amat meriah sekali. Memang menggugat iman kerana longgokan barang yang ditawarkan amat banyak dengan harga yang murah. Berbondong-bondonglah plastik yang dijinjing naik ke bilik.Tidak rasa rugikah membeli barang yang sememangnya murah tapi kualiti teruk sekali. Sehelai abaya SR 15-20, logik sungguh sebab kainnya seperti kain langsir dan tiada jahit tepi. Adakah baju sebegitu nak dihadiahkan kepada cucu/anak buah/sedara mara, akan dipakai kah agaknya. Beli juga abaya untuk anak-anak tapi di dalam kedai dengan harga sederhana tapi bolehlah dikatakan 'pakaian'. Barang-barang keperluan harian dibeli di kedai SR2, bolehlah bajet sikit2 sebab beli di kedai biasa kadang-kadang pak arab ni main sebut aja harga, tak konsisten langsung. Perhiasan/cerek/cawan... minta maaf tak berminat. Karpet... jauh sekali, lucunya ada yang membeli karpet, bagi yang tak membeli tak usahlah terasa rugi kerana karpet itu tak menyumbang langsung ke arah haji mabrur. Keghairahan membeli menyebabkan barangan terpaksa dipos dengan nilai antara SR 300 - 500. Tak sanggup rasanya sedekah kat syarikat kurier sebanyak itu, lebih baik sedekahkan pekerja Masjidil Haram yang rata-rata wajah mereka menimbulkan simpati kita yang melihat. Cuma menurut pemerhatian, golongan yang amat hebat bershopping ini agak kurang ke masjid, nampak seperti mengata tetapi itulah kenyataan. Mungkin keghairahan membeli belah membuat kita lalai dan alpa. Tak rasa sayangkah mereka, entahlah sukar difahami. Ada juga membeli sejadah, tasbih, kurma, takut orang kata kedekut pulak. Tapi rasanya perbelanjaan di tahap sederhana, agar tidak menjejaskan keberkatan ibadah.
SAF
Di Malaysia apabila bersembahyang jemaah kita amat mementingkan kesempurnaan saf. Nabi saw pernah menyebutkan bencana yang besar akan menimpa umat Islam yang mencuaikan saf ketika solat. Apa yang berlaku di sini bukan setakat berlakunya percampuran saf lelaki dan perempuan, saf juga kelihatan renggang dan bengkang bengkok yang melambangkan hati dan muafakat jemaah. Sabda Nabi yang bermaksud " Luruskanlah saf kamu, janganlah kalian membengkokkan saf, nanti hati-hati kamu akan berselisih". Telah dicat garisan lengkung yang menandakan arah kiblat, tetapi ada yang tidak mengikut garisan tersebut dengan betul. Tidak hairanlah umat Islam masa kini tidak bersatu padu.
DUIT SALAM
Lumrahnya setiap orang yang ingin mengerjakan Haji ramailah yang datang bersalaman beserta "duit salam" terutamanya ketika kenduri. Banyak sedikitnya duit salam yang terkumpul bergantung kepada beberapa faktor, apa lagi kalau yang berstatus tinggi, lagi tinggilah duit salam yang terkumpul. Memerhatikan gelagat jemaah haji yang tidak habis-habis 'bersopink' untuk si polan si polan, hati mula terasa gusar. Mestikah kita membelikan cendera mata/hati untuk setiap orang yang menghulur. Seperti kami sendiri menerima kurang lebih RM 4 XXX duit salam, tak kan semuanya nak dibeli hadiah.... aduh. Lalu saya memberitahu suami agar sama-sama mendoakan kesejahteraan orang yang telah memberi sumbangan. Saya pasti mereka tidak mengharapkan sebarang pembalasan. Jadi bagi yang mengerjakan Haji, tumpukan kepada amal ibadah, usahlah gusar mengira-ngira siapa lagi yang belum kita belikan cenderamata. Beberapa utas tasbih murah yang dibeli kami berikan kepada mereka yang datang ke rumah menziarahi kami. Ringkas kata mana yang ada adalah
No comments:
Post a Comment