Agak jarang diperkatakan tentang Khadijah binti Khuwailid, apa lagi sebagai idola..lagi jarang jarang. Menonton rancangan Halaqah TV9 minggu lepas (dah lama tak tonton sebab tak minat sangat ada sajak-sajak beremosi, sekarang dah tak ada), sempat menyalin beberapa sedutan tentang Khadijah.
Allah swt menjadikan Khadijah satu-satunya isteri yang istimewa di hati Rasulullah saw. Semaian mutiara rumah Nabi, beliau juga satu-satunya isteri yang melahirkan keturunan Nabi Muhammad saw, sedangkan isteri-isteri yang lain seorang pun tidak melahirkan zuriat*
Dia meninggalkan rumah kediamannya yang selesa dan bergabung bersama baginda serta orang-orang teraniaya. Dia menjadi orang terkurung tanpa memperdulikan usianya yang sudah mendekati 60 tahun.
Dia mengorbankan segala yang dimilikinya demi membantu dan memberi ketenangan kepada Rasulullah saw. Ketulusan dan pengorbanannya begitu besar sehingga menempatkan Khadijah permata pada kedudukan agung di hati mukmin dan mukminah sepanjang masa.
Mendapat salam dari Allah swt dan diberi khabar gembira untuknya. Akan dibangunkan sebuah istana di syurga yang diperbuat daripada mutiara yang penuh dengan ketenteraman dan keselesaan di dalamnya.
Sebagai pendamping Rasulullah saw, dia rela menempuh jarak 3 batu berjalan kaki dari rumah menuju Jabal Nur kemudian mendaki Gua Hira' demi memberi ketenangan kepada Rasulullah saw dengan membawa air dan makanan untuk suami tercinta. Allah begitu memuliakannya sehingga terpilih sebagai pendamping hidup Nabi, rasul mulia lagi agung. Beberapa malam dia mendapati Rasulullah saw di tempat sujud, tafakur dalam ibadah, Khadijah setia menunggu sebelum kembali ke rumah. Setiap saat Khadijah melalui pelbagai usaha demi memberi ketenangan dan kedamaian kepada Rasulullah saw.
Meninggal dunia pada usia 65 tahun, tiga tahun sebelum hijrah selepas menunaikan tanggungjawab mendampingi, menyokong, menyelimuti, membenarkan dan memperteguhkan perjuangan Rasulullah saw. Kematian Khadijah meninggalkan luka yang mendalam di hati
Rasulullah saw.
Khadijah sudah tiada namun pengorbanannya bertebaran harum di tanah haram. Beliau adalah insan biasa yang hatinya luar biasa.
*Buku "Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah saw" tulisan Nawawi Dusuki menyebutkan Ibrahim lahir dari ibunya Mariyah Qibthiyah.
No comments:
Post a Comment