Ketika abah dan mak baru berkahwin, mereka tinggal bersama atuk & nenek (moyang). Sehinggalah mendapat anak ke empat barulah kami berpindah ke rumah uwan yang terletak kira-kira 300m dari rumah moyang. Rumah yang kami duduki adalah rumah papan yang mempunyai tiang, cuma bahagian dapur terletak di bawah. Begitulah reka bentuk kebanyakan rumah pada zaman itu.
Tempat bermainku adalah di bawah rumah. Lucu juga teringat kami akan mencucuk lidi penyapu di celahan lantai papan dan sesiapa yang sedang duduk tentulah menjadi mangsa.
Bermain dengan tanah bukanlah perkara pelik di zaman itu, kami akan membancuh tanah bersama air kemudian dimasukkan ke dalam kulit kerang lalu di masak pula di atas api.
Bermain tanah juga mengingatkan aku satu peristiwa di bawah rumah, terdapat bahagian tanah yang seakan-akan gembur dan apabila aku mencungkilnya keluarlah sejenis binatang yang tidak kuketahui apa namanya. Seronoknya aku mencungkil lagi sehingga entah beberapa ekor binatang itu dapat kukeluarkan. Abah yang menyedari perbuatanku amat marah sekali dan mengatakan itu adalah kutu babi lalu merotanku beberapa kali. Sebagai seorang anak kecil dan jarang pula kena marah, tentu sekali aku tidak dapat menerima hukuman abah. Aku menangis sambil merungut-rungut mengatakan sesuatu yang tidak wajar dari seorang anak kepada abahnya. Singkatnya akal fikiran seorang anak kecil, lupa kebaikan seorang abah terhadap anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, hanya kerana dimarahi dan dirotan kerana membuat kesalahan. Bukankah kemarahannya berasas kerana aku bermain kotor yang mungkin mendedahkan aku kepada penyakit seperti kudis dan batuk. Alangkah baiknya jika aku menjadi seorang anak kecil yang rasional. Tetapi itu semua telah berlalu, patutlah pakar motivasi masakini mengatakan jika menghukum anak harus diterangkan kesalahannya agar mereka faham mengapa kita bertindak sedemikian. Jika tidak mereka akan menjadi seorang pendendam dan menganggap ibu bapa tidak sayangkan mereka. Tapi tidak pula aku sehingga menjadi pendendam kerana kejadian itu.
" Ya Allah cucurilah rahmat ke atas roh abah, tempatkanlah beliau di sisi orang yang Kau beri rahmat dan kasih sayangMu, amin"
No comments:
Post a Comment