Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, sahabatku Junaidah Abu Kassim telah pun pulang ke rahmatullah pada 11 Julai 2013 (2 Ramadhan 1434H). Aku pun hanya tahu dari fb dan bila beritahu En Has rupa-rupanya jenazah yang disembahyangkan di masjid Jelatang ketika solat Zohor hari Khamis lalu adalah sahabatku...
En Has pun tak cerita langsung tentang hari Khamis lalu ada solat jenazah, iyalah manalah dia terfikirkan kawan aku.
Tiada apa yang nak dikatakan cuma sejak kenal aruah dari Tingkatan 5 lagi, tidak ada satu perkataan pun dari mulutnya yang membuat aku marah, mungkin kerana itu kami kekal berkawan sehingga masuk ITM dan bila masing-masing berkahwin, kami membawa haluan masing-masing, jarang 'keep in touch' sangat jarang tapi dia memang tidak jemu-jemu mengirim kad ucapan Raya, cuma memang mungkin aku sahabat yang tak begitu berguna, tidak pernah aku membalas kadnya walau pun setiap tahun beli kad raya konon nak hantar kat dak Jun.
Ketika berkahwin dialah menjadi pengapit aku, malangnya ketika dia berkahwin aku hanya hantar wakil (En Has) sampaikan hadiah sebab aku malu dengan keadaan aku yang sarat mengandung anak pertama, maklumlah ketika tu 'bodoh' lagi... bila mengandung aku rasa hodoh dan malu nak berada di khalayak ramai. Ketika anak itu lahir dan meninggal dunia, engkaulah tempat aku mengadu dan meluahkan perasaan tetapi setelah aku bahagia dikurniakan anak yang ramai, engkau seakan aku lupakan... lupakah aku nilai persahabatan....
Aku mula mencarinya semula ketika fenomena fb mula melanda...tapi nak menghantar mesej bertanya khabar pun sangat malas. Sehinggalah hujung tahun 2010 barulah aku mesej jemput datang ke rumah semasa aku buat kenduri Haji. Ketika itulah dia beritahu dia disahkan kanser dan minta aku mendoakan yang terbaik buatnya.
Kali terakhir berjumpa tahun Feb 2012 semasa majlis perkahwinan adiknya, ketika itu dia baru sahaja buat kemo dan keadaan tak berapa sihat.Dia beritau suaminya pun diserang kanser. Selepas itu tak pernah langsung aku tanya khabar sehinggalah aku baca adiknya post di fb, alongnya telah meninggal.
Pada mulanya aku tidak begitu terkejut kerana telah maklum dengan keadaannya yang menderita kanser tapi setelah 2/3 hari barulah aku terkenang-kenang dan terasa amat sayu. Bersalahnya aku pada kau...tahu kau sakit tapi tak pernah meluangkan masa menjenguk kau. Aku berjanji tidak akan lupa mendoakan kesejahteraan kau di alam sana... mungkin itu sahaja sumbangan yang dapat aku berikan.
Ya Rabb limpahilah rahmat dan kasih sayangMu terhadap sahabatku. Al Fatihah.
“Wahai
jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi
diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam
SyurgaKu.” - Al Fajr: 27 - 30
No comments:
Post a Comment