Wednesday, December 29, 2010

TIGA JENIS ORANG...

Mengenali 3 jenis orang yang tidak mahu memperbaiki diri:
i. Suka mengkritik (kondem) orang lain tanpa ada rasionalnya
ii. Berusaha menjatuhkan orang yang sudah berjaya
iii. Memburukkan orang yang ingin berjaya

"Ya Allah lindungilah kami dari fitnah dan bala bencana"

CARILAH HATIMU DI TIGA TEMPAT

Ramai orang mengeluh dengan kehidupan yang dikatakan membosankan. Orang sebegini jiwanya kosong. Jiwa kosong kerana dia tidak mengetahui di mana terletaknya hati. Cuba cari di tiga tempat ini:

i. ketika membaca Al Quran
ii. ketika mengerjakan solat
iii. ketika mengingati mati
Jika tiada di tiga tempat itu, berdoalah kepada Allah agar dikurniakan hati yang baru kerana hati anda mungkin sudah tiada. Jika Allah kurniakan hati yang baru, jangan lupa peliharalah, bajai dan suburkanlah ia.

"Ya Allah, janganlah kau palingkan hati kami setelah Kau beri kami petunjuk, masukkanlah kami di dalam golongan orang yang sentiasa Kau beri rahmat"

Tuesday, December 28, 2010

NOSTALGIA KUTU BABI

Ketika abah dan mak baru berkahwin, mereka tinggal bersama atuk & nenek (moyang). Sehinggalah mendapat anak ke empat barulah kami berpindah ke rumah uwan yang terletak kira-kira 300m dari rumah moyang. Rumah yang kami duduki adalah rumah papan yang mempunyai tiang, cuma bahagian dapur terletak di bawah. Begitulah reka bentuk kebanyakan rumah pada zaman itu.
Tempat bermainku adalah di bawah rumah. Lucu juga teringat kami akan mencucuk lidi penyapu di celahan lantai papan dan sesiapa yang sedang duduk tentulah menjadi mangsa.
Bermain dengan tanah bukanlah perkara pelik di zaman itu, kami akan membancuh tanah bersama air kemudian dimasukkan ke dalam kulit kerang lalu di masak pula di atas api.
Bermain tanah juga mengingatkan aku satu peristiwa di bawah rumah, terdapat bahagian tanah yang seakan-akan gembur dan apabila aku mencungkilnya keluarlah sejenis binatang yang tidak kuketahui apa namanya. Seronoknya aku mencungkil lagi sehingga entah beberapa ekor binatang itu dapat kukeluarkan. Abah yang menyedari perbuatanku amat marah sekali dan mengatakan itu adalah kutu babi lalu merotanku beberapa kali. Sebagai seorang anak kecil dan jarang pula kena marah, tentu sekali aku tidak dapat menerima hukuman abah. Aku menangis sambil merungut-rungut mengatakan sesuatu yang tidak wajar dari seorang anak kepada abahnya. Singkatnya akal fikiran seorang anak kecil, lupa kebaikan seorang abah terhadap anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, hanya kerana dimarahi dan dirotan kerana membuat kesalahan. Bukankah kemarahannya berasas kerana aku bermain kotor yang mungkin mendedahkan aku kepada penyakit seperti kudis dan batuk. Alangkah baiknya jika aku menjadi seorang anak kecil yang rasional. Tetapi itu semua telah berlalu, patutlah pakar motivasi masakini mengatakan jika menghukum anak harus diterangkan kesalahannya agar mereka faham mengapa kita bertindak sedemikian. Jika tidak mereka akan menjadi seorang pendendam dan menganggap ibu bapa tidak sayangkan mereka. Tapi tidak pula aku sehingga menjadi pendendam kerana kejadian itu.

" Ya Allah cucurilah rahmat ke atas roh abah, tempatkanlah beliau di sisi orang yang Kau beri rahmat dan kasih sayangMu, amin"

Monday, December 27, 2010

SAHABAT

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu,jikalau dia melihat kebaikan daripada dirimu, dia suka menghitungnya dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jikalau dia mengetahui keburukan dari dirimu, dia menutup keaiban itu.
Jangan sekali-kali engkau bersahabat kecuali dengan dua golongan ini :
i. orang yang dapat berurusan dengan jujur untuk urusan duniamu
ii. orang yang dapat memberi manfaat untuk urusan akhiratmu
Jika engkau bersahabat dengan orang selain dari dua golongan di atas, pastilah luar biasa kedegilan dan kebodohanmu.
Jangan sekali-kali bersahabat dengan orang yang sangat tamak dengan dunia kerana bersahabat dengan mereka umpama bermain-main dengan racun yang akhirnya membunuh diri kita.
(Mutiara Ihya' Ulumuddin m/s 414-415)

Wednesday, December 15, 2010

ANDAI KU TAHU RAHSIA ITU....

Pada badan setiap manusia terdapat 360 ruas tulang. Setiap ruas tulang mempunyai ligamen yang bertindak sebagai pelincir kepada pergerakan tulang kita. Ligamen ini adalah makhluk hidup yang boleh berkembang atau pun menjadi mati. Untuk terus hidup berkembang, ligamen memerlukan 'makanan' iaitu zikir daripada tuan punya badan. Setiap satu ruas tulang memerlukan satu kali sebutan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Lailahaillallah setiap hari sebagai makanan, kalau 360 ruas laratkah kita yang sentiasa sibuk ini untuk mengucapkannya.Namun dengan 2 rakaat Solat Dhuha, ruas tulang kita telah memperolehi 360 zikir tersebut sebagai makanan untuk ia terus berkembang. Bagaimana badan yang tiada zikir, Solat Dhuha jauh sekali, keringlah ligamen itu dan akhirnya mati. Akibatnya timbullah sakit sendi, sakit tulang, sakit pinggang serta sakit seluruh badan.Berdoalah agar kita diberi kekuatan untuk melakukan Solat Dhuha yang sememangnya agak 'jauh' dari diri kita selama ini.
Tips: bilangan rakaat - minimum 2
waktu - sesudah terbit matahari hingga sebelum tertegaknya matahari
- solat individu sahaja
Bagi yang muda mungkin tersenyum membaca entry ini dan menganggap sakit tulang hanya untuk orang tua sahaja, jangan begitu dear, sakit dan kematian tidak pernah mengenal usia.

"Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk kami melakukan amal ibadat dan jauhi kami dari rasa malas untuk melakukan sembahyang sunat"

Tuesday, December 7, 2010

MAAL HIJRAH (1 MUHARRAM 1432H)

Selasa, 7 Disember 2010 - cuti sempena Maal Hijrah 1423H.
-Detik permulaan kalendar baru dalam Islam.
-Titik tolak kepada permulaan yang baru dalam kehidupan seorang Muslim.
-Kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah swt.
-Hijrah bukan hanya sekadar di mulut namun meliputi asas berikut:
i. hijrah dari sikap dan perbuatan yang buruk
ii. hijrah kepada amal dan ketaatan
iii. hijrah untuk meningkatkan ilmu
iv. hijrah kepada kegiatan ekonomi yang berteraskan syariat
v. hijrah dalam seluruh aspek kehidupan

"Ya Allah, lindungilah kehidupan kami sekeluarga dari sebarang malapetaka, limpahilah rezeki yang halal dan berikanlah kesihatan terbaik kepada kami agar kami dapat menjalani hidup dengan tenang"

IDOLA WANITA SEJATI/BONDA PALING ASLI

Agak jarang diperkatakan tentang Khadijah binti Khuwailid, apa lagi sebagai idola..lagi jarang jarang. Menonton rancangan Halaqah TV9 minggu lepas (dah lama tak tonton sebab tak minat sangat ada sajak-sajak beremosi, sekarang dah tak ada), sempat menyalin beberapa sedutan tentang Khadijah.
Allah swt menjadikan Khadijah satu-satunya isteri yang istimewa di hati Rasulullah saw. Semaian mutiara rumah Nabi, beliau juga satu-satunya isteri yang melahirkan keturunan Nabi Muhammad saw, sedangkan isteri-isteri yang lain seorang pun tidak melahirkan zuriat*
Dia meninggalkan rumah kediamannya yang selesa dan bergabung bersama baginda serta orang-orang teraniaya. Dia menjadi orang terkurung tanpa memperdulikan usianya yang sudah mendekati 60 tahun.
Dia mengorbankan segala yang dimilikinya demi membantu dan memberi ketenangan kepada Rasulullah saw. Ketulusan dan pengorbanannya begitu besar sehingga menempatkan Khadijah permata pada kedudukan agung di hati mukmin dan mukminah sepanjang masa.
Mendapat salam dari Allah swt dan diberi khabar gembira untuknya. Akan dibangunkan sebuah istana di syurga yang diperbuat daripada mutiara yang penuh dengan ketenteraman dan keselesaan di dalamnya.
Sebagai pendamping Rasulullah saw, dia rela menempuh jarak 3 batu berjalan kaki dari rumah menuju Jabal Nur kemudian mendaki Gua Hira' demi memberi ketenangan kepada Rasulullah saw dengan membawa air dan makanan untuk suami tercinta. Allah begitu memuliakannya sehingga terpilih sebagai pendamping hidup Nabi, rasul mulia lagi agung. Beberapa malam dia mendapati Rasulullah saw di tempat sujud, tafakur dalam ibadah, Khadijah setia menunggu sebelum kembali ke rumah. Setiap saat Khadijah melalui pelbagai usaha demi memberi ketenangan dan kedamaian kepada Rasulullah saw.
Meninggal dunia pada usia 65 tahun, tiga tahun sebelum hijrah selepas menunaikan tanggungjawab mendampingi, menyokong, menyelimuti, membenarkan dan memperteguhkan perjuangan Rasulullah saw. Kematian Khadijah meninggalkan luka yang mendalam di hati
Rasulullah saw.
Khadijah sudah tiada namun pengorbanannya bertebaran harum di tanah haram. Beliau adalah insan biasa yang hatinya luar biasa.

*Buku "Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah saw" tulisan Nawawi Dusuki menyebutkan Ibrahim lahir dari ibunya Mariyah Qibthiyah.