Wednesday, December 29, 2010

TIGA JENIS ORANG...

Mengenali 3 jenis orang yang tidak mahu memperbaiki diri:
i. Suka mengkritik (kondem) orang lain tanpa ada rasionalnya
ii. Berusaha menjatuhkan orang yang sudah berjaya
iii. Memburukkan orang yang ingin berjaya

"Ya Allah lindungilah kami dari fitnah dan bala bencana"

CARILAH HATIMU DI TIGA TEMPAT

Ramai orang mengeluh dengan kehidupan yang dikatakan membosankan. Orang sebegini jiwanya kosong. Jiwa kosong kerana dia tidak mengetahui di mana terletaknya hati. Cuba cari di tiga tempat ini:

i. ketika membaca Al Quran
ii. ketika mengerjakan solat
iii. ketika mengingati mati
Jika tiada di tiga tempat itu, berdoalah kepada Allah agar dikurniakan hati yang baru kerana hati anda mungkin sudah tiada. Jika Allah kurniakan hati yang baru, jangan lupa peliharalah, bajai dan suburkanlah ia.

"Ya Allah, janganlah kau palingkan hati kami setelah Kau beri kami petunjuk, masukkanlah kami di dalam golongan orang yang sentiasa Kau beri rahmat"

Tuesday, December 28, 2010

NOSTALGIA KUTU BABI

Ketika abah dan mak baru berkahwin, mereka tinggal bersama atuk & nenek (moyang). Sehinggalah mendapat anak ke empat barulah kami berpindah ke rumah uwan yang terletak kira-kira 300m dari rumah moyang. Rumah yang kami duduki adalah rumah papan yang mempunyai tiang, cuma bahagian dapur terletak di bawah. Begitulah reka bentuk kebanyakan rumah pada zaman itu.
Tempat bermainku adalah di bawah rumah. Lucu juga teringat kami akan mencucuk lidi penyapu di celahan lantai papan dan sesiapa yang sedang duduk tentulah menjadi mangsa.
Bermain dengan tanah bukanlah perkara pelik di zaman itu, kami akan membancuh tanah bersama air kemudian dimasukkan ke dalam kulit kerang lalu di masak pula di atas api.
Bermain tanah juga mengingatkan aku satu peristiwa di bawah rumah, terdapat bahagian tanah yang seakan-akan gembur dan apabila aku mencungkilnya keluarlah sejenis binatang yang tidak kuketahui apa namanya. Seronoknya aku mencungkil lagi sehingga entah beberapa ekor binatang itu dapat kukeluarkan. Abah yang menyedari perbuatanku amat marah sekali dan mengatakan itu adalah kutu babi lalu merotanku beberapa kali. Sebagai seorang anak kecil dan jarang pula kena marah, tentu sekali aku tidak dapat menerima hukuman abah. Aku menangis sambil merungut-rungut mengatakan sesuatu yang tidak wajar dari seorang anak kepada abahnya. Singkatnya akal fikiran seorang anak kecil, lupa kebaikan seorang abah terhadap anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, hanya kerana dimarahi dan dirotan kerana membuat kesalahan. Bukankah kemarahannya berasas kerana aku bermain kotor yang mungkin mendedahkan aku kepada penyakit seperti kudis dan batuk. Alangkah baiknya jika aku menjadi seorang anak kecil yang rasional. Tetapi itu semua telah berlalu, patutlah pakar motivasi masakini mengatakan jika menghukum anak harus diterangkan kesalahannya agar mereka faham mengapa kita bertindak sedemikian. Jika tidak mereka akan menjadi seorang pendendam dan menganggap ibu bapa tidak sayangkan mereka. Tapi tidak pula aku sehingga menjadi pendendam kerana kejadian itu.

" Ya Allah cucurilah rahmat ke atas roh abah, tempatkanlah beliau di sisi orang yang Kau beri rahmat dan kasih sayangMu, amin"

Monday, December 27, 2010

SAHABAT

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu,jikalau dia melihat kebaikan daripada dirimu, dia suka menghitungnya dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jikalau dia mengetahui keburukan dari dirimu, dia menutup keaiban itu.
Jangan sekali-kali engkau bersahabat kecuali dengan dua golongan ini :
i. orang yang dapat berurusan dengan jujur untuk urusan duniamu
ii. orang yang dapat memberi manfaat untuk urusan akhiratmu
Jika engkau bersahabat dengan orang selain dari dua golongan di atas, pastilah luar biasa kedegilan dan kebodohanmu.
Jangan sekali-kali bersahabat dengan orang yang sangat tamak dengan dunia kerana bersahabat dengan mereka umpama bermain-main dengan racun yang akhirnya membunuh diri kita.
(Mutiara Ihya' Ulumuddin m/s 414-415)

Wednesday, December 15, 2010

ANDAI KU TAHU RAHSIA ITU....

Pada badan setiap manusia terdapat 360 ruas tulang. Setiap ruas tulang mempunyai ligamen yang bertindak sebagai pelincir kepada pergerakan tulang kita. Ligamen ini adalah makhluk hidup yang boleh berkembang atau pun menjadi mati. Untuk terus hidup berkembang, ligamen memerlukan 'makanan' iaitu zikir daripada tuan punya badan. Setiap satu ruas tulang memerlukan satu kali sebutan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Lailahaillallah setiap hari sebagai makanan, kalau 360 ruas laratkah kita yang sentiasa sibuk ini untuk mengucapkannya.Namun dengan 2 rakaat Solat Dhuha, ruas tulang kita telah memperolehi 360 zikir tersebut sebagai makanan untuk ia terus berkembang. Bagaimana badan yang tiada zikir, Solat Dhuha jauh sekali, keringlah ligamen itu dan akhirnya mati. Akibatnya timbullah sakit sendi, sakit tulang, sakit pinggang serta sakit seluruh badan.Berdoalah agar kita diberi kekuatan untuk melakukan Solat Dhuha yang sememangnya agak 'jauh' dari diri kita selama ini.
Tips: bilangan rakaat - minimum 2
waktu - sesudah terbit matahari hingga sebelum tertegaknya matahari
- solat individu sahaja
Bagi yang muda mungkin tersenyum membaca entry ini dan menganggap sakit tulang hanya untuk orang tua sahaja, jangan begitu dear, sakit dan kematian tidak pernah mengenal usia.

"Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk kami melakukan amal ibadat dan jauhi kami dari rasa malas untuk melakukan sembahyang sunat"

Tuesday, December 7, 2010

MAAL HIJRAH (1 MUHARRAM 1432H)

Selasa, 7 Disember 2010 - cuti sempena Maal Hijrah 1423H.
-Detik permulaan kalendar baru dalam Islam.
-Titik tolak kepada permulaan yang baru dalam kehidupan seorang Muslim.
-Kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah swt.
-Hijrah bukan hanya sekadar di mulut namun meliputi asas berikut:
i. hijrah dari sikap dan perbuatan yang buruk
ii. hijrah kepada amal dan ketaatan
iii. hijrah untuk meningkatkan ilmu
iv. hijrah kepada kegiatan ekonomi yang berteraskan syariat
v. hijrah dalam seluruh aspek kehidupan

"Ya Allah, lindungilah kehidupan kami sekeluarga dari sebarang malapetaka, limpahilah rezeki yang halal dan berikanlah kesihatan terbaik kepada kami agar kami dapat menjalani hidup dengan tenang"

IDOLA WANITA SEJATI/BONDA PALING ASLI

Agak jarang diperkatakan tentang Khadijah binti Khuwailid, apa lagi sebagai idola..lagi jarang jarang. Menonton rancangan Halaqah TV9 minggu lepas (dah lama tak tonton sebab tak minat sangat ada sajak-sajak beremosi, sekarang dah tak ada), sempat menyalin beberapa sedutan tentang Khadijah.
Allah swt menjadikan Khadijah satu-satunya isteri yang istimewa di hati Rasulullah saw. Semaian mutiara rumah Nabi, beliau juga satu-satunya isteri yang melahirkan keturunan Nabi Muhammad saw, sedangkan isteri-isteri yang lain seorang pun tidak melahirkan zuriat*
Dia meninggalkan rumah kediamannya yang selesa dan bergabung bersama baginda serta orang-orang teraniaya. Dia menjadi orang terkurung tanpa memperdulikan usianya yang sudah mendekati 60 tahun.
Dia mengorbankan segala yang dimilikinya demi membantu dan memberi ketenangan kepada Rasulullah saw. Ketulusan dan pengorbanannya begitu besar sehingga menempatkan Khadijah permata pada kedudukan agung di hati mukmin dan mukminah sepanjang masa.
Mendapat salam dari Allah swt dan diberi khabar gembira untuknya. Akan dibangunkan sebuah istana di syurga yang diperbuat daripada mutiara yang penuh dengan ketenteraman dan keselesaan di dalamnya.
Sebagai pendamping Rasulullah saw, dia rela menempuh jarak 3 batu berjalan kaki dari rumah menuju Jabal Nur kemudian mendaki Gua Hira' demi memberi ketenangan kepada Rasulullah saw dengan membawa air dan makanan untuk suami tercinta. Allah begitu memuliakannya sehingga terpilih sebagai pendamping hidup Nabi, rasul mulia lagi agung. Beberapa malam dia mendapati Rasulullah saw di tempat sujud, tafakur dalam ibadah, Khadijah setia menunggu sebelum kembali ke rumah. Setiap saat Khadijah melalui pelbagai usaha demi memberi ketenangan dan kedamaian kepada Rasulullah saw.
Meninggal dunia pada usia 65 tahun, tiga tahun sebelum hijrah selepas menunaikan tanggungjawab mendampingi, menyokong, menyelimuti, membenarkan dan memperteguhkan perjuangan Rasulullah saw. Kematian Khadijah meninggalkan luka yang mendalam di hati
Rasulullah saw.
Khadijah sudah tiada namun pengorbanannya bertebaran harum di tanah haram. Beliau adalah insan biasa yang hatinya luar biasa.

*Buku "Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah saw" tulisan Nawawi Dusuki menyebutkan Ibrahim lahir dari ibunya Mariyah Qibthiyah.

Sunday, November 28, 2010

CATATAN HAJI 2010

SERIBU PERSOALAN

Pulang ke tanah air dengan seribu satu persoalan yang tak terjawab. Apakah perjalanan kehidupan akan berubah secara drastik atau kembali menjadi insan yang sama tingkah laku dan pemikirannya?. Apakah amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci akan berterusan hingga ke tanah air dan seterusnya hingga ke akhir hayat?. Apakah titisan air mata pilu semasa lambaian terakhir meninggalkan Kaabah lama-kelamaan akan hilang auranya?. Yang tinggal hanyalah gelaran Haji/Hajjah di awal nama setiap kali ditulis. Saya tidak mahu diuji sedemikian. Biarlah ibadah haji ini mampu mengubah sempadan masa. Jika tidak saya akan menjadi orang yang paling rugi. Apa tah lagi usia yang tinggal kelihatan lebih singkat berbanding usia yang telah berlalu. Ya Allah berilah taufik dan hidayahMu.

" Ya Allah, kami menunaikan fardhu Haji semata-mata kerana ingin menyampaikan rasa syukur kepadaMu. Ya Allah, kami mahu menjadi manusia yang lebih baik di sisiMu.
Berikanlah kebahagiaan dan rezeki yang halal kepada kami sekeluarga. Jauhi kami daripada mereka yang suka mencela dan membuat fitnah.
Berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan amalan-amalan yang telah dilaksanakan di Tanah Suci.
Ya Allah jika kami dipanggil olehMu, masukkanlah kami di kalangan orang yang beriman"

KUASA DOA

Demam, batuk dan selsema adalah fenomena biasa ketika di Tanah Suci. Syukurlah kami hanya diserang secara minimum, tidak perlu ke klinik yang giliran mengambil ubatnya mencecah nombor 100 lebih!. Cuma beberapa hari sebelum wukuf abang ke klinik untuk mendapatkan stok ubat sebagai persediaan jika apa-apa berlaku nanti. Keyakinan terhadap kuasa doa dan khasiat air zam-zam menyelamatkan kami dari menelan pelbagai jenis ubat. Alhamdulillah.


SEMPADAN MASA

Ibadah haji dikatakan akan mengubah sempadan masa. Ianya amat subjektif dan berbeza untuk setiap orang. Contohnya, bagi seorang perokok sempadan masanya adalah dari 'masa merokok' kepada masa 'tidak merokok'. Seorang yang suka melengahkan sembahyang sempadan masanya adalah 'masa suka melengahkan sembahyang' kepada 'masa menyegerakan sembahyang'.Sempadan masa bagi orang yang jarang sembahyang sunat adalah 'masa jarang sembahyang sunat' kepada 'masa memperbanyakkan sembahyang sunat'. Bagi saya sempadan masa adalah 'masa seorang yang terlalu sibuk dengan urusan dunia' kepada 'masa seorang yang lebih seimbang urusan dunia dan akhirat'. Adakah ianya akan menjadi kenyataan, diri sendirilah yang akan menentukan. Tanyalah diri sendiri sempadan masa yang mana anda hendak berada.

HAJI MALBORO

Rokok adalah haram di Makkah dan tidak boleh didapati di pasaran terbuka. Tetapi perokok pastinya seorang yang licik, apabila bekalan stok rokok yang dibawa dari rumah telah habis, mereka tahu di mana mencari penjual rokok. Maka berkepul-kepullah asap rokok keluar dari mulut orang yang berwajah selamba.Syukurlah abang yang telah merokok seawal usia 16 tahun tidak menyentuh rokok sepanjang berada di Tanah Suci. Memang membimbangkan kerana rakan sebilik semuanya perokok tegar dan merokok di dalam bilik. Perokok-perokok ini nampaknya tidak sedar asap yang mereka hembus menambahkan lagi bebanan udara kota Makkah yang sedia terdedah dengan pelbagai kekotoran jutaan manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia.
Kepada abang saya menghantar nota:
"Semuga diberikan haji mabrur. Tanda haji mabrur, selepas pulang lebih dekat dengan Allah dan tidak melakukan;
i. perkara yang dilarang
ii. perkara makruh*
iii. perbanyakkan amalan sunat
* contohnya merokok
Harap maklum"

KAMERA OH KAMERA

Antara perkara yang tiada pada jemaah haji zaman dahulu berbanding sekarang ialah kamera. Ramai jemaah membawa kamera atau sekurang-kurangnya telefon bimbit berkamera. Nampaknya bergambar menjadi agenda penting jemaah haji masa kini sehingga ada kalanya nampak ianya mengatasi kepentingan agenda beribadah. Lucu sekali kamera tiada dalam list barang yang akan kami bawa. Malah telefon yang dibawa hanyalah telefon lama yang dibeli entah berapa tahun yang lalu. Jadi tidak ada sebarang gambar untuk diabadikan apa lagi untuk dilihat oleh anak-anak, untuk ditayangkan dalam facebook jauh sekali. Namun tiada sebarang rasa terkilan di hati kerana tidak merasakan gambar adalah sesuatu yang penting. Bergambar tidak salah tapi berpada-padalah, janganlah aktiviti bergambar mengatasi aktiviti beribadat. Semasa ziarah di Bukit Uhud, jelik melihat jemaah yang asyik bergambar dan tidak memperdulikan penerangan mutawwif yang amat luas ilmunya sehingga mutawwif dalam nada sinis berkata menuntut ilmu sunnah nabi, ambik gambar bukan sunnah nabi.

SHOPPING SHOPPING SHOPPING

Samada di Madinah atau Makkah aktiviti shopping amat meriah sekali. Memang menggugat iman kerana longgokan barang yang ditawarkan amat banyak dengan harga yang murah. Berbondong-bondonglah plastik yang dijinjing naik ke bilik.Tidak rasa rugikah membeli barang yang sememangnya murah tapi kualiti teruk sekali. Sehelai abaya SR 15-20, logik sungguh sebab kainnya seperti kain langsir dan tiada jahit tepi. Adakah baju sebegitu nak dihadiahkan kepada cucu/anak buah/sedara mara, akan dipakai kah agaknya. Beli juga abaya untuk anak-anak tapi di dalam kedai dengan harga sederhana tapi bolehlah dikatakan 'pakaian'. Barang-barang keperluan harian dibeli di kedai SR2, bolehlah bajet sikit2 sebab beli di kedai biasa kadang-kadang pak arab ni main sebut aja harga, tak konsisten langsung. Perhiasan/cerek/cawan... minta maaf tak berminat. Karpet... jauh sekali, lucunya ada yang membeli karpet, bagi yang tak membeli tak usahlah terasa rugi kerana karpet itu tak menyumbang langsung ke arah haji mabrur. Keghairahan membeli menyebabkan barangan terpaksa dipos dengan nilai antara SR 300 - 500. Tak sanggup rasanya sedekah kat syarikat kurier sebanyak itu, lebih baik sedekahkan pekerja Masjidil Haram yang rata-rata wajah mereka menimbulkan simpati kita yang melihat. Cuma menurut pemerhatian, golongan yang amat hebat bershopping ini agak kurang ke masjid, nampak seperti mengata tetapi itulah kenyataan. Mungkin keghairahan membeli belah membuat kita lalai dan alpa. Tak rasa sayangkah mereka, entahlah sukar difahami. Ada juga membeli sejadah, tasbih, kurma, takut orang kata kedekut pulak. Tapi rasanya perbelanjaan di tahap sederhana, agar tidak menjejaskan keberkatan ibadah.

SAF

Di Malaysia apabila bersembahyang jemaah kita amat mementingkan kesempurnaan saf. Nabi saw pernah menyebutkan bencana yang besar akan menimpa umat Islam yang mencuaikan saf ketika solat. Apa yang berlaku di sini bukan setakat berlakunya percampuran saf lelaki dan perempuan, saf juga kelihatan renggang dan bengkang bengkok yang melambangkan hati dan muafakat jemaah. Sabda Nabi yang bermaksud " Luruskanlah saf kamu, janganlah kalian membengkokkan saf, nanti hati-hati kamu akan berselisih". Telah dicat garisan lengkung yang menandakan arah kiblat, tetapi ada yang tidak mengikut garisan tersebut dengan betul. Tidak hairanlah umat Islam masa kini tidak bersatu padu.

DUIT SALAM
Lumrahnya setiap orang yang ingin mengerjakan Haji ramailah yang datang bersalaman beserta "duit salam" terutamanya ketika kenduri. Banyak sedikitnya duit salam yang terkumpul bergantung kepada beberapa faktor, apa lagi kalau yang berstatus tinggi, lagi tinggilah duit salam yang terkumpul. Memerhatikan gelagat jemaah haji yang tidak habis-habis 'bersopink' untuk si polan si polan, hati mula terasa gusar. Mestikah kita membelikan cendera mata/hati untuk setiap orang yang menghulur. Seperti kami sendiri menerima kurang lebih RM 4 XXX duit salam, tak kan semuanya nak dibeli hadiah.... aduh. Lalu saya memberitahu suami agar sama-sama mendoakan kesejahteraan orang yang telah memberi sumbangan. Saya pasti mereka tidak mengharapkan sebarang pembalasan. Jadi bagi yang mengerjakan Haji, tumpukan kepada amal ibadah, usahlah gusar mengira-ngira siapa lagi yang belum kita belikan cenderamata. Beberapa utas tasbih murah yang dibeli kami berikan kepada mereka yang datang ke rumah menziarahi kami. Ringkas kata mana yang ada adalah

Friday, November 26, 2010

TRILOGI HAJI

Alhamdulillah... selamat pergi selamat kembali, dapat berjumpa kembali anak-anak tersayang yang telah 45 hari ditinggalkan. Sempurna sudah rukun Islam yang ke -5, terima kasih kerana menjemput kami ya Allah. Jika ada kelapangan waktu, kewangan dan kesihatan, kami pasti kembali.

Kongsi pengalaman bersama Trilogi Haji dan ambil pengajaran dari Catatan Haji 2010. Jika baik jadikan teladan dan jika buruk jadikanlah sempadan.

TRILOGI HAJI PART 1 (MADINAH AL-MUNAWARRAH)

09.10.2010 (Sabtu) - berakhir sudah satu penantian


Setelah hampir 5 bulan menghitung hari, kini sampailah masa berangkat ke Tanah Suci. Setelah mendaftar masuk jam 6.30 pagi, barulah jiwa terasa tenang berbanding sebelumnya kerana kesesakan manusia di Kelana Jaya.Anak-anak telah kuarahkan balik supaya kami tidak risau, selamat tinggal semua, berdoalah kepada Allah agar kita dapat berjumpa lagi. Sebaik sahaja flight berlepas jam 11.15 tengahari, jam diputar kepada 6.15 pagi waktu Arab Saudi dan dijangka tiba jam 3.15 petang. Di sebelahku seorang mak cik tua berumur 80 tahun, syukur Ya Allah kami menjadi tetamuMu lebih awal berbanding mak cik itu dan juga kebanyakan teman yang sewaktu dengan kami.
3.15-6.15 petang - urusan imigresen di Madinah, boleh tahan lama... mungkin ini dugaan pertama.
7.00 - sampai di hotel Movenpick Madinah, dah terlepas Maghrib. Bersiap segera kerana waktu Isyak akan masuk jam 7.23. Pertama kali menjejak Masjid Nabawi,terasa tidak berpijak di bumi nyata. Terima kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan.
9.30 malam - time to sleep. Aktiviti untuk hari ini berakhir sudah.


"Ya Allah aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau beri kepada kami.Terimalah kami sebagai tetamuMu yang paling istimewa. Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan.
Engkau peliharalah kesihatan dan keselamatan anak-anak kami, Amir, Aqilah,Ainunul,Aliah,Akmal dan Aid. Janganlah dicetuskan rasa rindu mereka kepada kami sepanjang kami menjadi tetamuMu Ya Allah.
Berikanlah kejayaan yang cemerlang kepada mereka di dalam pelajaran dan bukakanlah pintu hati mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah.
Ya Allah Engkaulah balaslah budi baik ibu, adik-adik dan ibu saudara yang sanggup menjaga anak-anak kami sepanjang ketiadaan kami juga kepada rakan-rakan sejawat yang membantu kerja kami sepanjang ketiadaan kami.
Ya Allah berikanlah perasaan kasih sayang, saling bermaafan dan tidak cepat tersinggung antara kami suami isteri.
Ampunilah kami Ya Allah."

10.10.2010 (Ahad) - semangat membara


Malam terasa panjang, jam 12.00 dah terbangun. Jam 1.00 a.m dah mandi. Peliknya mandi apa pagi-pagi begini. Memenuhi masa dengan sembahyang2 sunat, membaca Al-Quran dan buku favourite Travelog Haji. Jam 4.00 a.m azan pertama berkumandang menandakan 1 jam lagi waktu solat Subuh akan masuk. Jemaah sudah berdedai-dedai turun ke masjid, adakah kerana semangat membara atau sememangnya mata yang sudah tidak mahu tidur. Semuga semangat membara ini akan bertahan untuk tempoh 44 hari lagi.
7.30 a.m - ziarah dalam.Dibawa ke Perkuburan Baqi, makam Rasulullah, Saidina Umar dan Saidini Abu Bakar. Berpeluang melakukan beberapa sembahyang sunat di kawasan Raudah, salah satu taman syurga.Terima kasih ya Rasulullah, agama yang kau bawa menyuluh hidup kami ke jalan benar.

11.10.2010 (Isnin) - ziarah luar


7.30 am - ke masjid Kuba' - mendirikan solat di masjid ini sama pahalanya dengan satu umrah. Kemudian ke Jabal Uhud, terdapat makam syuhada Uhud seperti Hamzah bapa saudara Rasulullah saw, Abdullah Jahasy dan Mas'ab Umair. Melalui masjid Kiblatain

12.10.2010 (Selasa) - shopping


Jemaah haji mula membawa plastik berbondong-bondong, mula sibuk membuat pengeposan. ya Allah jauhilah kami dari perbelanjaan yang sia-sia. Kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah, janganlah dipalingkan niat kami.

13.10.2010 (Rabu)


Beli 4 buah Al Quran untuk 4 little princesses.
Tumit mulai merah dan pecah, terasa sakit untuk berjalan.

14.10.2010 (Khamis)

Subuh-hanya duduk di luar masjid kerana uzur. Simen terasa amat sejuk.
Zuhur, Asar, Maghrib - duduk di luar masjid
Isyak - duduk di lobi hotel kerana jemaah bertambah ramai/sesak

15.10.2010(Jumaat)

Mulai bosan dengan keuzuran, waktu sembahyang terpaksa duduk di lobi. Semuga semuanya cepat berakhir

16.10.2010 (Sabtu)

Tawakkal duduk dalam bilik aje. Membaca-penat-tidur-membaca-penat-tidur.Itu sahajalah kitaran hidupku.

17.10.2010 (Ahad) - Selamat tinggal Madinah bumi aman


8.00 am - ziarah Masjid Nabawi, hanya berdiri di luar. Ya Allah janganlah jadikan ziarahku ini yang terakhir, limpahkanlah rezeki yang halal agar aku dapat menjejaki lagi masjid yang mulia ini.
7.00 pm - menaiki bas untuk ke Makkah. Setelah 1 jam berada dalam bas ber air-cond yang begitu 'hot-cond' barulah bas bertolak. Berhenti 4 kali, niat ihram di Bir Ali, kanvas penutup beg tertanggal, berhenti di RR, imigresen.Cabaran mula terasa.

TRILOGI HAJI PART 2 (MAKKAH Al-MUKARRAMAH)
(FASA SEBELUM WUKUF)

18.10.2010 (Isnin)


5.00 am sampai Makkah. Syukur bas sampai juga ke destinasi.Ditempatkan di Hotel Janadriyah. Hati mula tercabar tapi harus kuat semangat, datang ke sini hanya kerana Mu Ya Allah. Suasana Makkah amat berbeza dengan Madinah. Sedih teringat Aid, Amal sms suruh telefon sebab Aid menangis tapi tak baca sms tu hingga dia tertidur.Ikut juga ke Masjidil Haram sampai ke tempat sa'ie sahaja. Melihat Kaabah untuk pertama kali.Ya Allah tambahkan rumah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan.
9.30 pm - ke TH bayar Dam Tamattuk SR 350

19.10.2010 (Selasa)
20.10.2010 (Rabu)
- masih belum dapat bersembahyang

21.10.2010 (Khamis)


Bangun jam 1.45 am dan keluar ke masjid jam 2.00 am. Tawaf umrah dan sa'ie selesai jam 4.00 am.Dapat solat sunat di dalam kawasan Hijir Ismail.

22.10.2010 (Jumaat)


Memulakan hari seperti biasa, tetapi keluar 2.30 sebab abang pulak lewat bangun. Sentiasa jadi orang pertama bangun dan mandi. Zohor tak sembahyang di masjid, ada ceramah khas wanita di surau hotel.Dapat telefon dengan akak, nun dan aid, miss u all so much.
Asar - Isyak - berada di Masjidil Haram

23.10.2010 (Sabtu)

Hari ni dapat dua kali tawaf, Suboh dan Zohor. Tawaf tengahari memang amat mencabar kerana panas yang amat terik.

24,10.2010 (Ahad)


Memulakan hari seperti biasa. Hanya naik van untuk solat Zohor, yang lain semua naik kaki sejauh 800 meter.
2.00 am - 6.30 am - Suboh
6.30 am - 11.00 pm- bilik
11.00 pm - 8.00 pm - Zohor hingga Isyak
8.00 pm - 2.00 am- bilik


"Ya Allah, berikanlah rasa cinta yang mendalam terhadap Masjidil Haram agar kami tidak lalai dan malas beramal ibadat. Berilah kami kesihatan yang terbaik agar dapat memenuhi ruang masa dengan beramal ibadat. Berilah kami ilham untuk melakukan yang terbaik. Engkau bantulah kami. Ampunilah kami Ya Allah"

25.10.2010 (Isnin)


Memulakan hari lebih awal 1.45 am untuk ke Tana'im untuk melakukan umrah sunat.Selesai sa'ie jam 4.30am, tertidur sekejap kerana keletihan yang teramat. Telefon Aliah dan Aid sebab mereka nak exam.

26.10.2010 (Selasa)


Aktiviti seperti biasa. Memang berazam nak berada di Masjidil Haram semaksimum masa yang mungkin.
Sementara tunggu Asar, keluar minum di Hotel Safwa Royale Orchid, ada restoran Malaysia iaitu D'Saji, dapatlah menikmati roti canai original di sana.
Telefon Aid lagi, egonya dia tak mahu mengaku rindukan ibu.

27.10.2010 (Rabu)


Bangun pagi terasa sakit tekak yang teramat sangat. Balik dari masjid, beli Strepsil dengan harga dua kali ganda berbanding Malaysia (tak sempat nak beli sebelum berangkat). Minta sedikit asam jawa dengan Mak Cik Ramlah untuk minum airnya. Gagahkan juga ke masjid untuk Zohor-Isyak.

28.10.2010 (Khamis)


Alhamdulillah... sakit tekak mulai reda. Syukur tak payah ke klinik yang nampaknya sentiasa meriah dengan pesakit, cuma selsema agak makin menebal.
Makan roti canai lagi di D'Saji, terkenang-kenang kelazatannya.
Balik dari solat Isyak, keadaan tidak lagi seperti biasa, mula bersesak-sesak mulai dari pintu Masjidil Haram sehinggalah ke tangga hotel. Jalan raya juga hiruk pikuk dengan kenderaan. Tidak lagi menjadi orang pertama sampai ke bilik kerana perjalanan yang tidak lancar.

29.10.2010 (Jumaat) - hari ke -20


Mulai hari lebih awal 1.00 am untuk ke Tana'im melakukan umrah sunat.
Batuk mula berbunyi selepas beberapa hari tekak terasa sakit. Sembahyang di kawasan Pintu King Aziz walau pun agak jauh kerana di sini jemaah agak terkawal, tiada percampuran saf antara lelaki dan perempuan. Tea break D'Saji lagi. Abang belanja sebab dah khatam Al-Quran.

30.10.2010 (Sabtu)

Tawaf sunat semakin mencabar kerana jemaah semakin bertambah ramai.

31.10.2010 (Ahad)


Keadaan masih mengizinkan untuk tawaf sunat. Masa yang panjang di masjid dipenuhi dengan solat hajat untuk setiap orang anak , perkara yang tidak mungkin dapat kulakukan di Malaysia. Hari ni cuba roti telur pulak di D'Saji. Belanja abang pulak sebab khatam Al-Quran, Alhamdulillah.

01.11.2010 (Isnin)


Tawaf sunat habis 3.30 am, lewat sikit sebab keluar lewat 15 minit, jemaah pula semakin ramai. Abang beli sehelai jubah warna gold di Hotwel Safwah. Belum decide nak beli jubah mana, masih survey. Entah kenapa kedekut sangat nak beli, mungkin awal-awal lagi dah berdoa tak nak berbelanja yang sia-sia.

02.11.2010 (Selasa)


Bangun 1.45am, rasa kepala pusing sikit tapi masih ok.
Zohor - mulai hari ni jalan kaki kerana jalan ke masjid telah ditutup untuk kenderaan. Petang badan rasa nak demam, telan sebiji panadol dah ok.
Maghrib-Isyak - hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja selesai solat Maghrib, sekumpulan jemaah meluru ke Pancur Emas untuk mandi dan ada yang terbunuh (kes terlalu taksub). Badan rasa tak sedap seram sejuk.

03.11.2010 (Rabu)


Pagi sakit kepala yang teramat sangat, abang pergi masjid seorang. Jam 4.00 am makan ubat yang dibawa dari rumah, hopefully tak perlu ke klinik. Then tidur,tidur,tidur sampai abang balik dari masjid 6.00 am breakfast. Tidur lagi hingga jam 12.00 pm. Zohor di bilik sahaja.
Jam 2.00 pm gagahkan diri ke masjid, Alhamdulillah dapat bertahan Asar hingga Isyak

04.11.2010 (Khamis)


Keluar jam 2.10 am, keadaan tak mengizinkan hanya abang tawaf sunat seorang. Pergi tingkat 1 cuba tawaf sebelah atas, satu pusingan sahaja lebih kurang 10 minit.
11.00 am biasanya makan sebelum ke masjid tapi selera tak tajam, bawa nasi ke masjid makan lepas solat Zohor
Sementara tunggu Asar, ke Hotel Safwa beli tasbih baru, tasbih kristal yang dibeli sempat guna 2 hari, cicir tak tau di mana. Telefon Aid, markah Matematik 99%, mesti kes careless tapi hadiah dah beli.
Malam berakhir awal, jam 9.15 pm dah tidur.

05.11.2010 (Jumaat)


Keluar as usual 2.00 am, tapi tak buat tawaf sunat kerana keadaan nampak terlalu sesak. Penuhi masa dengan solat-solat sunat dan Al-Quran.
Akmal sms semua ada di kampung cuti Deepavali.

06.11.2010 (Sabtu)


Duduk di Dataran Kaabah tunggu abang tawaf sunat, otw keluar jumpa Mak Ngah dan Pak Ngah. Sedekah seorang tua dari Morocco tasbih sebab dia asyik memerhatikan tasbih yang dipegang, rasa kesian pulak, kena beli tasbih lagi lepas ni.
Ingat nak sembahyang di 3rd floor tapi simen terlalu sejuk. Beralih tempat sembahyang di pintu An-Nadwa Bridge, di sini agak lapang kerana jemaah kurang menggunakan pintu ini kerana tiada hotel berdekatan.
Ke D'Saji lagi menikmati roti canai.

07.11.2010 (Ahad)- hari ke 30

08.11.2010 (Isnin)


Terlewat 15 minit, terjaga bila abang ketuk pintu. Hanya duduk solat sunat di dataran, abang tawaf sunat seorang.
Selepas Zohor ke Hotel Safwa beli 2 helai jubah hitam untuk diri sendiri dan Anor, SR 120 per piece. Abang kata tak apa beli mahal sikit kerana dah penat beribadah, jangan asyik membeli tapi amal ibadah kurang.

09.11.2010 (Selasa)


Lewat 20 minit dari biasa, abang pulak yang lewat.Rutin hidup seperti biasa, cuma dalam perjalanan balik dari solat Isyak, entah mengapa badan terasa lemah tak bermaya, berhenti beli ais krim baru pulih tenaga.

10.10.2010 (Rabu)


Tawaf sunat di tingkat 1, mengambil masa 1 jam 10 minit. Alhamdulillah mungkin dah biasa berjalan kaki stamina maintain.
Keluar rehat tidak ke Hotel Safwa seperti kebiasaan tetapi ke hotel sebelah (Twin Tower yang menempatkan jam tertinggi dunia) untuk mencari toilet kerana toilet di Hotel Safa juga telah sesak. Toilet besar dan selesa tapi lokasi agak jauh, apalagi toilet lelaki dan perempuan di aras berbeza, tak pergi lagilah ke sini. Toilet masjid sudah lama tidak masuk kerana kesesakan terlampau sehingga pernah menitiskan air mata, bingung memikirkan bagaimana nak masuk. Berada di masjid untuk tempoh yang lama pastinya tidak dapat mengelak untuk ke tandas. Doa perlu dibaca untuk memohon pertolongan Allah agar dipermudahkan.


" Ya Allah yang Maha Hidup dan Maha Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan di saat yang amat genting"


Amal sms risaukan keputusan UPSR, tenangkan dia tetapi hati sendiri sesekali memang berdebar.

11.11.2010 (Khamis)

- ulang tahun perkhwinan ke - 22, plan nak makan chicken broast yang amat popular tapi sebab abang demam, kurang selera tangguh dulu.
Abang demam pagi ni tapi masih larat untuk jalan kaki ke masjid.
Gelisah tunggu Amal kenapa tak sms. Oleh kerana dalam bilik tiada line, turun ke bawah untuk telefon. Alhamdulillah, Amal dapat 5A, menitis air mata. Terima kasih Ya Allah , salah satu doaku yang berderet itu telah Kau makbulkan. Abang terus baik demam mendengar berita gembira itu.
Zohor - abang dah sihat. Waktu rehat ke Hotel Safwa, beli termos, plan nak bawa bekal air panas, mudah sikit tak perlu keluar untuk tea break.

12.11.2010 (Jumaat)


Keluar jam 2.05 am, lewat 5 minit dari kebiasaan. Ditakdirkan mungkin inilah amal ibadat terakhirku secara rally di Masjidil Haram kerana waktu uzur telah pun sampai. Syukur kerana kebimbanganku tidak dapat tawaf haji (lebih parah kalau kena tangguh flight) berakhir memandangkan 2 hari lagi akan ke Arafah. Yakin dapat tawaf haji dan tawaf wida'. Terima kasih lagi Ya Allah segala-galanya telah Kau atur dengan cantik sekali. Keluar ke lobi untuk beli beberapa helai telekung, (beli telekung tak membazir kan). Ke kedai beli roti yang biasanya satu berharga SR 1.00 tapi dah naik SR 1.50, peniaga selamba cakap musim haji naik harga, lepas haji turun balik, Ali Cafe produk Malaysia ada jual tapi SR 40.00 sepeket, mujur bawak banyak stok tapi dah putus, beli juga single pack, dah kopi lain tak boleh minum, pening.

13.11.2010 (Sabtu)


Abang demam dan buat pertama kalinya tak pergi masjid selama 27 hari berada di Makkah. Turun ke lobi beli breakfast, nasi kerabu.
Zohor - abang dapat ke masjid semula setelah demam berkurangan, hantar sampai kat lobi.
Malam- saja duduk-duduk di lobi ada orang sedekah kurma dan roti.

14.11.2010 (Ahad)


Disebabkan tak sembahyang jadi tugasku membeli breakfast pagi-pagi. Beli nasi lemak untuk abang dan for me of course nasi kerabu, itu sahaja yang menarik selera.Seriknya nak beli orang terlalu sesak, berebut-rebut, lambat memang putih mata.
Waktu Asar ikut abang ke Masjidil Haram, duduk di tempat sa'ie, dapat juga lihat Kaabah berbanding berlingkar dalam bilik yang amat menjemukan dan membekukan otak. Balik makan chicken broast yang telah lama dirancang tapi tak kesampaian.
Mujur digerakkan hati abang tak sembahyang maghrib di masjid kerana bas dijangka 8.00 pm tapi jam 6.00 pm dah kena naik bas. Tiba di Arafah jam 9.00 pm, sepanjang perjalanan dapat melihat ramainya orang hanya berjalan kaki, seharusnya kita bersyukur, tak perlulah merungut jika bas lambat dan sebagainya.

Doa sebelum wukuf

"Ya Allah, permudahkanlah urusan kami di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Berikanlah kesihatan yang terbaik semasa kami di sana. Berikanlah kemudahan bilik air kepada kami agar ia tidak menjadi satu masalah besar. Tetapkanlah hati kami untuk beramal ibadat.Kuncilah mulut kami daripada percakapan yang sia-sia. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang dan membuang masa. Lindungilah kami daripada sebarang mala petaka. Aku berserah kepada Mu Ya Allah".

TRILOGI HAJI PART 3
(FASA SEMASA DAN SELEPAS WUKUF)


15.11.2010 (Isnin - 9 Zulhijah)


Wukuf di Arafah
Jam 2.00 am dah terjaga, bilik air crowded, ada hikmahnya tak boleh sembahyang, gosok gigi dan basuh muka aja di tepi khemah.
6.30 am duduk di luar breakfast dengan abang.Tandas pun dah reda bolehlah masuk.Mereka sembahyang jamak Zohor dan Asar. Lepas Zohor duduk di luar khemah dengan abang sehinggalah bas sampai jam 5.10 pm.
(* waktu wukuf ialah dari gelincir hingga terbenam matahari iaitu waktu paling afdal berdoa kerana langit dikatakan terbelah dan 30 minit sebelum Maghrib dosa-dosa akan diangkat ke langit)
Sampai Muzdalifah jam 5.45 pm, mereka sembahyang jamak Maghrib dan Isyak.Duduk di atas tikar sehingga jam 11.45 pm. Masa menunggu terasa amat panjang, mungkin kerana kesesakan dan tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana setiap inci tanah telah dipenuhi manusia. Pungut 7 biji batu sahaja untuk melontar.Alhamdulillah dapat menaiki bas trip pertama ke Mina, ada yang terpaksa bertahan sehingga suboh.

16.11.2010 (Selasa 10 Zulhijah)

12.30 am sampai di Mina. Melontar Jamratul Kubra jam 1.30 am, perjalanan sejauh 2.9 km. Selesai melontar jam 3.30 am, dugaan menimpa, mutawwif tersasar jauh terpaksa berpatah balik jam 4.30 am baru sampai ke khemah. Habis semua tenaga, hanya water cooler yang disediakan sepanjang jalan membantu agar tidak pengsan di tengah jalan. Anggaran perjalanan pergi balik termasuk jarak yang tersasar rasanya tidak kurang 10 km. Ada jemaah yang hilang sabar dan memarahi mutawwif dengan kata-kata yang tidak wajar bagi seorang yang baru sahaja bertahallul, sudah lupakah dia di mana dia berada dan kenapa dia berada di sini, manusia memang sukar dimengertikan.

Tidur yang tak berapa nak tidur, aneh sekali tidak pula keletihan atau mengantuk yang terlampau. Kalau di Malaysia tentunya sudah berdengkur atau sekurang-kurangnya terjelepok keletihan. Berbanding Arafah dan Muzdalifah, berada di Mina paling mencabar emosi sehingga menitiskan air mata. Mungkin terlupa atau terlalai, doa ini dibaca

"Ya Allah kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah. Jangan Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau uji kami dengan perkara2 yang boleh merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami Ya Allah"

17.11.2010 (Rabu 11 Zulhijah)

Melontar ketiga-tiga jamrah selepas Suboh, sampai khemah semula jam 6.45 am. Alhamdulillah, segalanya selamat dan mudah, rasa seronok yang teramat sangat.

Menghabiskan masa siang di dalam khemah, sesekali mundar mandir di luar khemah. mandi jam 9.15 pm, dah tak tahan sangat, mujur tak lama menunggu giliran.

18.11.2010 (Khamis 12 Zulhijah)

Melontar 2 selepas Suboh tapi jam 3.30 am dah keluar untuk mengelak kesesakan. Melakukan lontaran sebaik sahaja azan ke dua suboh, balik ke khemah jam 6.30 am. Bersiap-siap untuk pulang ke Makkah kerana kumpulan kami membuat Nafar Awal. Bas yang ditunggu tak kunjung tiba sehinggalah jam 10.30 am, Alhamdulillah dapat menaiki bas, tapi simpati pada yang tinggal terpaksa menunggu trip ke dua kerana bas hanya ada 4 buah.

19.11.2010 (Jumaat 13 Zulhijah) - hari ke 33 di Makkah

Ke Masjidil Haram jam 12.30 am untuk tawaf Haji, tak boleh berlengah lagi kerana orang pastinya akan bertambah ramai. Sembahyang hajat dan taubat dahulu sebelum tawaf memohon agar dipermudahkan urusan yang amat penting ini. Alhamdulillah... seramai mana umat pun yakinlah pasti ada laluan untuk kita. Selesai sa'ie jam 3.30 am.Tak tunggu Suboh kerana tiada daya lagi, hanya solat di bilik. Tidur hingga jam 10.00 am, mimpi pelbagai mimpi antaranya mimpi aruah abah. Setiap malam sementara menunggu Isyak, baca Surah Yassin untuk abah.

2.30 pm - selepas tenaga agak pulih ke masjid semula untuk solat Asar - Isyak.

20.12.2010 (Sabtu)

Plan nak keluar 12.00 am dan tidur di masjid tapi tak jadi pulak.

Hari terakhir di Masjidil Haram. Walau pun esok masih ada, kami tidak akan dapat lagi bersembahyang penuh 5 waktu di sini. Air mata mula menitis setiap kali sembahyang. Jam 10.30 am dah keluar ke masjid walau pun Zohor lambat lagi, bosan pulak di hotel orang sibuk menguruskan beg dan timbang sampai terlupa inilah peluang terakhir merebut pahala 100 000 kali ganda, kenapa manusia begitu, tidak diketahui jawapannya.Malam lewat sedikit tidur kerana baru nak packing barang, tak kisah nak timbang2 kerana kami yakin tak akan melebihi had, kalau lebih pun bayar sahaja, kenapa sibuk urusan timbang menimbang hingga tak sempat ke masjid. Rasanya kami orang terakhir packing barang.

21.11.2010 (Ahad)

Suboh terakhir di Masjidil Haram. Zohor tak dapat ke masjid kerana bagasi perlu di hantar ke lantai P. Selesai urusan beg terus ke masjid walau pun Asar lambat lagi, bosannya orang terlalu ghairah nak balik, siapa yang tidak mahu balik tetapi perasaan bercampur baur dengan rasa sayang untuk meninggalkan Makkah.

Ambil tempat di dataran Kaabah untuk memudahkan tawaf wida', malangnya apabila waktu Asar tempat diambil orang hingga tiada ruang untuk bergerak, dugaan terakhir sembahyang di Masjidil Haram. Tawaf wida' mengambil masa hampir 2 jam, manusia seperti air yang melimpah deras, ada kalanya tidak perlu bergerak sendiri, hanya dengan tolakan manusia kami mara ke hadapan. Sukar menggambarkan perasaan ketika mencari ruang untuk keluar dari dataran, beberapa kali menoleh ke belakang sehinggalah Kaabah hilang dari pandangan, air mata bukan sekadar lakonan, hati hanya mampu berkata jemputlah kami lagi Ya Allah.Sembahyang Maghrib di hotel. Jam 6.30 pm bas dah ada, tetapi tidak semudah disangka, hanya pada jam 11.30 pm bas baru bergerak dan perjalanan ke Jeddah yang sepatutnya mengambil masa 1 jam 30 minit berlarutan hinggga 5 jam. Astaghfirullah. Dugaan bukan hanya sebelum dan semasa Haji tetapi juga selepas Haji. Bayangkan hampir 10 jam berada dalam bas yang air cond antara ada dan tidak.

22.11.2010 (Isnin) - hari ke 45

4.30 am selamat juga akhirnya di Madinatul Hujjaj (Jeddah). Satu perjalanan yang amat mencabar kesabaran, mujurlah tertidur agak lama di dalam bas, tidaklah perasan sangat waktu panjang yang dilalui. Ada juga yang membebel marah-marah, sakit telinga juga mendengar tapi apa kan daya manusia memang mudah lupa/lalai. Melelapkan mata seketika antara 7.00 - 7.30 am. Ramai juga yang bersembang-sembang, mungkin kerana Haji sudah selesai, wallahuaalam. Tidak ada topik yang hendak dibualkan, naik ke katil dan menyudahkan bacaan Al-Quran yang hanya tinggal beberapa helai. Alhamdulillah, khatam kali ke dua di Jeddah, terlaksanalah hasrat nak khatam sekurang-kurangnya dua kali untuk tempoh 45 hari. Sesuatu yang tak mungkin terlaksana di Malaysia, nak menghabiskan bacaan 2/3 helai pun payah.

Bertolak ke Lapanganterbang Jeddah jam 11.30 am kerana check in dijangka 3.30 pm. Sekali lagi dugaan menimpa, perlaksanaan tidak semudah perancangan. Hanya setelah 6 jam menunggu barulah selamat memasuki perut pesawat (jam 11.30 pm). Mujur sempat sms Amal beritahu akan lewat sampai.

"Ya Allah berilah kerahmatan kepada kami. Permudahkanlah urusan perjalanan pulang kami. Jauhilah malapetaka semasa dalam perjalanan.Berikanlah perlindungan sehingga kami dapat berjumpa anak-anak, ibu, adik beradik dan saudara mara. Ya Allah Engkau berkati dan ampunilah kami."

Membawa balik bersama 10 buah Al-Quran, 6 buah beli, 2 buah hadiah Arab Saudi dan 2 buah lagi diberi oleh seseorang semasa kami duduk di masjid menunggu solat Maghrib. Alhamdulillah pengorbanan duduk di masjid dari jam 2.00 am - 8.00 am dan 11.00 am - 8.00 pm setiap hari rasanya berbaloi apabila menerima hadiah yang sangat berharga itu. Pada mulanya kami pun agak terpinga-pinga mengapa di antara ribuan jemaah yang berada di dalam masjid, kami yang menjadi pilihan, syukur kepada Allah, insan itu digerakkan hatinya untuk menghadiahkan Al-Quran itu kepada kami.

23.11.2010 (Selasa)

Sampai jam 12.35 pm waktu Malaysia, mereka pun baru sampai, Alhamdulillah tak lama menunggu. Aneh sungguh sampai di sini barulah rasa kepenatan terlampau. Orang pertama dipeluk dan dicium tentulah Aid yang amat dirindui. Nampak bertambah tembam. Singgah sembahyang sunat dan Zohor di masjid dahulu. Jam 3.00 pm selamat sampai ke rumah. Terima kasih semua, hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian. Semuga ada antara adik-beradik akan menyusul ke Tanah Suci dalam tahun terdekat ini, Insya Allah. Hanya satu pesanan, pergilah ketika usia muda dan sihat kerana kekuatan fizikal amat membantu mengerjakan Haji dengan lebih sempurna

Tuesday, September 28, 2010

KEPUPUSAN IDEA

Just want to say "I'm still alive" tapi kepupusan idea... hidup terlalu bizi dengan urusan duniawi yang seakan tak berpenghujungnya.

Saturday, August 7, 2010

Menjelang 7 tahun pemergian abah

Pantas sekali masa berlalu, dah masuk bulan Ogos 2010, bulan ini juga genap 7 tahun abah pulang ke Rahmatullah (21.8.2003). Harap tidak ada adik beradik ku serta anak-anak ku yang terlupa tarikh pemergian orang yang pernah menyayangi mereka suatu ketika dahulu.Hari ni dah dua kali aku menangis berendam air mata mengingati abah, tak tau lah kenapa. Menjelang ketibaan Ramadan dan juga semakin hampirnya keberangkatanku ke Tanah Suci, ingatan terhadap abah semakin mendalam. Hati sering menjadi hiba. Andai masa boleh diundur kembali, terlalu banyak yang ingin ku lakukan dan perbaiki. Tidak puas hidup bersama abah, itulah perasaan yang sering menghantui fikiran.Tetapi segalanya tidak mungkin lagi.Al Fatihah untuk abah.
Bagi yang masih mempunyai ayah, hargailah mereka ketika hayatnya masih ada.


7 tahun sudah kau pergi
meninggalkan ibu, anak menantu, dan cucu-cucumu
juga adik beradik, saudara mara dan rakan taulan semasa hayatmu
hari-hari selepas ketiadaanmu
terasa kosong, pilu dan sepi
andai dapat diundur putaran dunia
pasti kita masih bahagia bersama
tapi itu tinggal kenangan
yang sukar dilupakan
kulalui tarikh ini dengan bacaan Yassin dan Al-Fatihah

Monday, June 14, 2010

Pengganas Sepanjang Zaman

Lama tak ada entri baru, tak ada isu hangat lately kecuali kisah Israel laknatullah menyerang aktivis misi bantuan Gaza yang menaiki kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa 31 Mei 2010 yang lalu.Dalam kejadian malang itu, 19 aktivis terbunuh sementara 50 orang yang lain cedera. Alhamdulilah semua aktivis Malaysia terselamat. Kegigihan dan semangat kental mereka membuat diri terasa sentap dan malu, apakah yang telah kita lakukan selama ini, hanya meluahkan rasa simpati dan mengutuk kekejaman puak zionis tersebut?. Mujurlah ada insan-insan berhati mulia sanggup berkorban jiwa dan raga menyerah diri kepada risiko kehilangan nyawa sedangkan mereka sendiri punya keluarga yang tentunya merestui perjuangan mereka.
Negara Israel ditubuhkan pada 15 Mei 1948, semenjak itu keganasan demi keganasan ke atas hak bangsa Palestin khasnya dan umat Islam amnya dilakukan tanpa jemu dan lelah, dan terkini serangan terhadap kapal Mavi Marmara. Entah bila kemelut akan berakhir.

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru

Sempena 16 Mei hari ini (sambutannya esok), terjumpa satu artikel yang baik untuk dikongsi bersama rakan seperjuangan. Bagaimana mahu menjadi guru cemerlang seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali...antaranya:

- sabar dan menerima dengan baik pelbagai masalah pelajar
- bersifat kasih sayang dan tidak pilih kasih
- duduk dengan sopan, tunduk dan tidak riak
- tidak takbur kecuali terhadap orang yang zalim
- merendah diri dalam perbincangan
- menanam sifat bersahabat terhadap semua pelajar
- tidak mengherdik pelajar bodoh
- mendidik pelajar bodoh dengan cara terbaik
- beri hujah yang benar ketika berada di pihak yang salah

Penulis juga menyatakan sistem P&P di IPTA dan IPGM banyak mengambil falsafah Barat yang kurang berkesan dalam melahirkan guru cemerlang.Antara contohnya menjadikan tokoh pendidikan seperti Lawrence Kholberg yang akhirnya mati membunuh diri di pantai Atlantik kerana menghidap penyakit. Apakah falsafah moral yang dapat dijadikan ikhtibar oleh guru-guru di Malaysia daripada tokoh tersebut?

Sempena Hari Guru sama-samalah kita berazam menjadi guru yang lebih bertanggungjawab,ikhlas, dinamik, profesional serta sedar akan tanggungjawab mendidik anak bangsa supaya berjaya di dunia dan akhirat. Sebagai manusia kita juga ada kekurangan tetapi walau sedikit cela amat dipandang orang berbanding kebaikan telah kita lakukan. Wallahualam.

Terima kasih Nor Awin Tasmian UPM (Berita Harian 22 April 2010)

Saturday, May 8, 2010

DI SEBALIK HARI IBU

Menjelang 10 Mei sibuklah nampaknya anak-anak mak mengucapkan Happy Mother's Day (termasuklah my kids, maybe). Media massa pun seminggu dua ni sibuk mempromosi Hari Ibu, siap ada pertandingan menulis luahan rasa dan entah apa-apa lagi. Tak perasan pulak sejak bila ye orang-orang kat Mesia ni sibuk menyambut Hari Ibu.
Bagi yang tak tau sejarah hari ibu atau sengaja tak nak ambik tau, ada sedikit info yang nak dikongsikan bersama.
Pada asalnya Hari Ibu diiktiraf seluruh dunia pada hari Ahad minggu ke dua Mei sempena mengingati kematian Anna Reeves Jarvis yang menghambakan diri kepada gereja sehingga akhir hayatnya.
Anaknya Anna M.Jarvis memulakan kempen mewujudkan sambutan Hari Ibu secara rasmi dan permintaannya untuk memilih tarikh 10 Mei 1908 telah berjaya dan sambutan rasmi telah diadakan di West Virginia. Namun begitu masyarakat beragama Kristian telah menyambutnya seawal tahun 1840!
Tarikh yang sama jugalah kita merayakan Hari Ibu, konon2nya untuk menghargai ibu. Bukan untuk mempertikaikan perlunya menyambut hari ibu tetapi memilih tarikh yang sama dengan Anna M.Jarvis bagaikan satu sindiran terhadap umat Islam yang seharusnya mengingati, menghargai dan mendoakan ibu pada setiap hari.
Terpulanglah kepada anak-anak bagaimana cara untuk menghargai ibu tetapi yang paling diharapkan oleh seorang ibu ialah doa anaknya selain memelihara makan minum dan pakainya.
Berdoalah agar ibu sentiasa berbahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan serta tergolong di kalangan orang solehah di akhirat kelak. Apatah bagi yang telah tiada lagi di dunia ini, apakah yang paling penting selain doa anak-anaknya?
(Sumber : Berita Harian 21 Mei 2009, terima kasih Nik Salida Suhaila)

Wednesday, May 5, 2010

KERUH DI HULU KERUH DI HILIR

Cerita buang bayi kini bukan lagi satu kisah yang mengejutkan kerana kejadian telah berlaku secara berleluasa. Tidak mustahil suatu hari nanti berita buang bayi hanya dianggap cerita biasa atau hanya layak diletakkan sebagai nota kaki sahaja. Kini timbullah suara-suara yang menyarankan pelbagai jalan penyelesaian seperti memperkenalkan pendidikan reproduktif di sekolah (dah ada kan dalam subjek Sains), menubuhkan institusi khas (ala-ala rumah kebajikan) untuk menerima bayi yang tidak diingini, dan terkini 'kasi' lelaki yang membuang anak (hello waras ke cadangan ni).Pelajaran agama, memang telah wujud sekian lama, tetapi apabila agama hanya untuk dipelajari, bukan untuk diamalkan dan dipraktikkan, inilah yang kita perolehi.
Apakah jalan penyelesaian yang dicari dapat merungkai permasalahan sebenar hingga ke akar umbi atau ianya ibarat mengatasi satu 'keburukan' dengan menggantikannya dengan satu 'keburu kan' yang lain. Ibarat memberi ubat tetapi masih terdedah kepada punca penyakit. Tumpuan harus diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor gejala sosial ini. Ibarat pepatah jika keruh di hulu, maka keruhlah di hilir.Untuk menjernihkan hilir, bersihkan yang hulu terlebih dahulu.Institusi keluarga yang semakin rapuh, bahan lucah yang boleh diakses dengan mudah, pergaulan bebas, adalah antara penyumbang kepada gejala buang bayi yang semakin serius.
Hakikatnya, makhluk yang membuang bayi itu lebih teruk daripada haiwan yang tahu menjaga dan mempertahankan anaknya.

Friday, April 2, 2010

SIKSA JADI GURU

Tajuk muka depan akhbar BH 01.04.2010 "Siksa jadi guru" mungkin serius bagi tengah pihak, mungkin juga agak lucu.Isu beban tugas guru bukan isu baru tapi sudah berlarutan sekian lama, pak menteri pun sudah silih berganti tapi isu gegak gempita itu masih bersahut-sahutan.
Realitinya beban tugas guru bukan ditanggung oleh semua guru tetapi sebahagian sahaja seperti guru mata pelajaran kelas peperiksaan atau guru yang memegang tugas-tugas khas di sekolah dan ada juga beban tugas yang bersifat berkala iaitu kerja yang timbul hanya sekali atau dua kali setahun.
Kalut sungguh hidup guru sehingga tertubuhnya satu jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru. Alat penimbang apakah akan digunakan untuk memberi keadilan kepada semua guru kerana senario yang biasa berlaku di sekolah, guru yang rajin dan berkebolehan akan dihantui dengan kerja yang tiada berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan seperjuangan yang lena diulit mimpi.
Isu bebanan guru mungkin timbul dari guru-guru 'manja' yang enggan susah sedangkan ketika temuduga dahulu golongan ini mengaku bukan sahaja rela memanjat Gunung Everest malah lautan api pun sanggup direnangi.
Dalam riuh rendah isu beban tugas guru, ada juga yang memandang sinis terhadap guru.Ada golongan yang musykil, kalau guru terbeban dengan tugas, bagaimana mungkin ada yang mampu menjalankan aktiviti sampingan yang tiada langsung kaitan dengan dunia pendidikan.
Kesimpulannya beban tugas guru perlu dianalisis melalui hasil kaji selidik, bukan hanya timbang kilo yang akhirnya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.
To all teachers..... siksa ke jadi guru?. Tepuk dada tanya hati, jawapannya ada pada anda.
To me, beban yang sebenarnya adalah dalam mendidik anak bangsa ke arah pembentukan sahsiah terutamanya di kalangan generasi muda. Kerja-kerja perkeranian.....memang menyiksakan tapi hidup perlu diteruskan, cakap lebih-lebih nanti orang suruh berhenti jadi guru, telinga juga yang sakit. Stop.

Friday, March 26, 2010

SAMPAINYA HATI.......

Nasib malang yang menimpa 9 beradik (berusia hanya 2 - 13 tahun) yang ditinggalkan ibu dan ayah akibat pertengkaran merupakan satu lagi penyakit yang menimpa masyarakat masa kini akibat kerapuhan institusi keluarga. Tergamak m ereka meninggalkan anak-anak yang kini dipelihara datuk dan nenek yang telah tua. Sejak kebelakangan ini telah beberapa kali berita anak ditinggalkan ibu, mungkin kerana tidak sanggup menanggung kesusahan hidup.
Apakah tidak ada lagi rasa kasih sayang walau secebis pun lalu ditinggalkan begitu sahaja.Inilah akibatnya apabila nilai kemanusiaan semakin terhakis dalam diri segelintir manusia. Anak tidak lagi dianggap amanah Allah, masalah rumahtangga diatasi dengan mengambil jalan pintas meninggalkan anak-anak tanpa memikirkan kesan ke atas psikologi anak yang sedang membesar.
Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, bersedialah dari segi psikologi supaya sanggup memikul tanggung jawab sebagai ibu bapa dan mengharungi cabaran hidup yang bukan boleh dipandang remeh

Saturday, March 20, 2010

KE MANA HALA TUJU SELEPAS SPM

Lega....setelah beberapa hari mengadap angka sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur, akhirnya analisis SPM sekolah tahun 2009 selesai juga. Mujurlah keputusan SPM yang diumumkan hampir dengan cuti pertengahan semester memberi ruang untuk menyiapkan kerja dengan lebih tenang.
Melihatkan peratusan kecil yang berjaya dengan sekurang-kurangnya 1A- dan membandingkan pula dengan seramai 7 987 orang calon sekolah peringkat nasional yang berjaya mendapat straight A dalam semua mata pelajaran, hati menjadi sedih dan sayu. Berbekalkan 'kejayaan" 1E/2E/3E dan lain-lain G, ke manakah hala tuju mereka selepas ini. Malangnya golongan ini masih mampu bergelak ketawa tanpa sedikit pun rasa terkilan atau bersalah terhadap ibu bapa apa lagi terhadap bangsa dan negara.Di manakah kedudukan mereka berbanding 7 987 orang yang berjaya?. Mereka tidak pernah memikirkan....kerana itu mereka tidak mampu untuk bersedih dan menganggap apa yang diterima itulah takdirnya.Mudahnya menjadi orang yang tidak sensitif berbanding menjadi orang yang sensitif dan peka dengan perkembangan semasa.
Di saat kita seronok merayakan kumpulan kecil yang berjaya, apakah kita terlupa kepada ratusan ribu yang gagal atau kurang berjaya.Belum lagi diambil kira jurang perbezaan pencapaian bandar dan luar bandar yang masih jauh, dan golongan luar bandar semestinya majoriti Melayu/Bumiputera.
Golongan seramai 7 987 orang ini tidak dapat menjamin kesejahteraan negara jika dibandingkan jumlah calon sekolah seramai 406 420 orang, ada ratusan ribu lagi yang kurang berjaya yang bakal menjadi beban bukan sahaja kepada ibu bapa malah kepada negara dan bangsa. Bagi mereka yang tidak layak atau tidak mahu menyambung pelajaran, bagaimana hendak memberi peluang untuk mereka mendapat latihan kemahiran seterusnya memasuki alam pekerjaan. Golongan ini tidak wajar terus bekerja kerana rata-rata mereka kurang motivasi dan disiplin diri, mampukah mereka menyahut cabaran alam pekerjaan terlalu awal seterusnya menjadi pekerja yang berdedikasi. Akhirnya lari dari satu pekerjaan ke satu pekerjaan, tanpa kewangan yang kukuh, mempunyai keluarga dan rentetan masalah ini juga membawa kepada rapuhnya institusi keluarga seterusnya merumitkan lagi masalah sosial yang melanda masyarakat masa kini.

Saturday, March 6, 2010

MALANG SUNGGUH NASIB SIKECIL

Tatkala kisah Shafia Humairah semakin "sejuk" diperkatakan, hati ini masih panas memikirkan jenayah yang berlaku secara terang-terangan tetapi tiada pihak yang membantu, seolah-olah menghalalkan segala perbuatan jenayah di depan mata.
Kematian kanak-kanak malang itu merupakan petanda bahawa masyarakat perlu peka dengan apa yang berlaku di persekitaran khususnya kanak-kanak yang perlu dilindungi walau dalam apa keadaan sekali pun. Apabila kes yang membabitkan kanak-kanak, masyarakat wajar menjadi "sangat sibuk menjaga tepi kain" orang supaya kes penderaan kanak-kanak tidak lagi berulang.
Kanak-kanak ibarat tunas yang baru berputik, menjadi pohon rimbun menghijau, oleh itu wajarlah mereka dilindungi dan dibimbing untuk terus hidup di muka bumi ini dan menikmati kehidupan sebaik mungkin.

Saturday, February 13, 2010

Di sebalik Hari Valentine....

Penularan budaya sambutan Valentine's Day di kalangan masyarakat Islam secara sedar atau tidak samalah seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom suatu ketika dahulu. Mereka meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka.

Satu versi lagi berkaitan Hari Valentine ini adalah dari Sepanyol.Paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella ketika itu bernama Valentine.Beliau merupakan orang paling penting yang ditugaskan untuk menjatuhkan kerajaan Islam Cordova. Sebagai mengenang jasanya yang besar dalam menjatuhkan Islam itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan mereka.

Walau pun ada beberapa versi yang bebeza-beza tentang asal usul perayaan ini tetapi jelas kepada kita ianya berasal daripada orang bukan Islam.Nah...apakah kaitannya 14 Feb. dengan kita selain dari hanya merosakkan akidah dan moral umat Islam terutama golongan muda.

Mungkin ada di antara kita menganggap sambutan hanya untuk suka-suka kononnya untuk mengeratkan kasih sayang sesama manusia. Tapi harus diingatkan, perkara berkaitan akidah jangan dibuat main-main atau suka-suka, kita harus tegas dalam usaha menjauhinya.

Wahai media massa, mana tanggungjawab anda? Masih terdapat iklan/promosi sambutan Hari Kekasih di dalam TV/suratkhabar. Teguran ulamak dipandang sepi.

Ada benarnya pendapat seorang orientalis Belanda suatu ketika dulu " semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya barat maka semakin jauh/bebas lah mereka daripada ajaran Islam"

Rujukan : Berita Harian 12 dan 13 Feb 2010.

Wednesday, January 27, 2010

Ke mana Hilangnya Budi bahasa

Wed, 27.01.2010 - hopefully today is my day, 2 hari yang berlalu ketenangan jiwa agak tergugat kerana masalah manusia yang semakin hilang budi bahasa.
Isnin- berdepan dengan seorang pelajar begitu biadap bahasanya. Bawa mengadap GPK 1 bersama saksi tapi tidak mahu mengaku. Akhirnya aku mengalah dan melepaskan manusia itu tanpa mencatat apa-apa dalam rekod disiplin. Mengalah bukan bererti kalah tetapi sebagai manusia waras aku tidak mahu membuang masa melayan manusia yang (mungkin kurang waras) sedangkan kerja bertimbun nak diselesaikan. Kalau manusia 'gelap hati' mungkin boleh diterangkan tapi kalau manusia yang 'mati hati'...yang mati mana boleh dihidupkan kembali. Aku harap pelajar itu masih dalam kategori 'gelap hati'. Moralnya... walau pun tugas guru mengajar/mendidik tetapi harus berhati-hati jangan sampai memakan diri.
Selasa - waktu balik tak dapat mengundur kereta kerana ada orang parking terlalu rapat di belakang. Aku minta pak guard panggil sipemilik kereta.Lebih 10 minit menunggu, pak guard pun tak timbul-timbul (oi kau panggil orang ke buat orang).Sedang cuba nak meng'hulur-hulur' pemilik kereta yang tidak dikenali (kurus kering macam tak cukup vitamin) pun datang. Bukan nak minta maaf tapi siap perli pulak 'keretapi pun lepas'. Wow sikurus kering ni bukan sahaja buruk rupa, buruk juga budi bahasa ye.
Moralnya.. lepas ni kena praktis undur kereta agar skill meningkat.Senang nak mengadap orang macam sikurus kering tu.
Persoalannya tempat seluas benua, kenapa belakang kereta aku juga yang kau suka nak parking?(stupid question, dah tentu cicak kubin tu tak dapat jawab, lainlah aku mintak no.tel/e-mail dia...ceh sikurus tu nak ada e-mail, malam sikit)

Tuesday, January 26, 2010

Al-Fatihah untuk King Ghaz

Nama Allahyarham Tun Ghazali Shafie, ahli politik yang berkhidmat dari era Tunku Abdul Rahman hingga Tun Dr Mahathir Mohamad amat lekat di ingatan. Semasa menjadi Menteri Luar, aku hanyalah seorang anak hingusan yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan tetapi nama beliau sangat popular ketika pada zaman itu.
Cadangan Datuk Seri Najib Razak mewujudkan memoir bagi mengenang jasa beliau memang amat tepat sekali kerana beliau adalah wira negara dan pemimpin yang melalui detik mencabar semasa awal pasca merdeka, pembentukan Malaysia, konfrantasi Malaysia-Indonesia dan ancaman komunis.
Memang benar yang patah kan tumbuh, yang hilang akan berganti tetapi apakah yang berganti kan sama dengan yang telah tiada?. Satu persoalan lagi, adakah generasi muda masa kini mengenali King Ghaz dan mengkagumi ketokohannya?

Saturday, January 23, 2010

Bekerja Sebagai Satu Ibadah

Ingatan untuk semua yang makan gaji. Anggaplah pekerjaan sebagai satu ibadah supaya kita dapat menghindari sifat-sifat buruk seperti terlalu berkira dari segi bebanan kerja (contohnya membandingkan kerja kita dengan orang lain), masa (contohnya tepat 5.00 pm stop tanpa ada budi bicara/belas kasihan), menganggap pelanggan menyusahkan kita sedangkan tanpa mereka kerja kita tak wujud, penuhi masa dengan membereskan semua kerja-kerja yang tertunggak, kalau berhenti makan pun berpada-padalah, makan untuk kerja bukan kerja untuk makan, nak berbual... pun berpada-padalah, tak perlulah cerita detail pasal anak, pasal suami, pasal isteri, makan apa, isk isk bukan semua orang suka mendengar, telefon? pun patut-patutla... rimas berdekatan dengan orang yang sentiasa picit telefon/berbual. Sedarlah tiada siapa suka/selesa mendengar orang berhampiran bercakap dengan telefon lama-lama, seolah-olah orang sekeliling tidak wujud.Alamak Mujahid nak main Happy Aquarium pulak. To be continued.

Friday, January 22, 2010

Jalan-jalan ke Bukit Fraser

Bercuti ke tanah tinggi?. destinasi tumpuan ramai biasanya Cameron Highlands/Genting Highlands. Sampai bersesak-sesak dengan orang ramai terutama musim cuti. Nak mengelak kesesakan tapi masih dapat menikmati kedinginan cuaca tanah tinggi... why not ke Bukit Fraser (tolong kerajaan Pahang promosi pulak).
Mungkin kerana lambaian Bukit Fraser, kami sekeluarga berada di sana pada 1.1.2010, sambut New Year kat sanalah kiranya.

Pemandangan selepas pintu masuk. Mana nak pergi. Mujur ada Allan's Water.


Room to stay?. Banyak....

atau di sini

Kalau budget "gemuk" boleh stay kat sini - The Smokehouse
Bunga..sayur...strawberry?...tak ada. Ada ternampak sebuah nurseri tapi pokok ciput je.
Nak shopping...selamat duit. T-shirt, key chain adalah untuk kenangan.Kebanyakan datang berposing sana posing sini.



Posing ng ngan cik abang yang tinggi lampai, seb baik kasut tumit tinggi kui..kui..



Ada air terjun tapi jauh,nak lalu sentiasa bunyi hon, Mujahid suka lah.



Banyak pokok pine, cantik.
Kesimpulannya datang ke Bukit Fraser sekali cukuplah untuk menikmati kedinginan cuaca, tak ada perasaan nak datang lagi. Tak seperti Cameron Highlands, balik rumah rasa rindu nak datang lagi.

Kasih Yang Tak Kan Padam

Entah mengapa setiap pagi Jumaaat hati menjadi sayu teringatkan abah. Mungkin kerana abah dikebumikan pada hari Jumaat tengahari (meninggal petang Khamis 21.8.2003). Abah pergi di saat kebahagian berada di puncak (kelahiran Ahmad Mujahid pada 20.3.2003 melengkapkan seluruh kebahagiaanku). Semenjak itu abah tinggal di rumahku tetapi pada petang 21.8.2009 jam 6.30 petang, seluruh kebahagiaanku bagaikan musnah kerana abah pergi dengan tiba-tiba. Walau pun abah telah lama uzur tapi siapa menyangka hari itu adalah yang terakhirnya. Beberapa bulan selepas pemergiannya, Akmal demam teruk sampai meracau-racau, Aliah pula mengamuk bagai tak terkawal.Mungkin rindukan atuk yang amat memanjakan mereka.Menangis...... entah ke berapa kalinya, tapi sekurang-kurangnya itulah jalan untuk melepaskan sebak di dada.Semuga abah aman di sana. Tidak puas rasanya bersama abah tetapi kematian adalah pasti.

Wednesday, January 20, 2010

RENUNGAN

Kejadian jenayah dan keruntuhan moral kian hari kian menakutkan menimbulkan persoalan di mana silapnya kehidupan masyarakat hari ini. Kepincangan dalam masyarakat Islam hari ini berlaku kerana isu keberkatan hidup tidak pernah diberi perhatian apatah lagi untuk mengambil berat perihal makanan yang dibawa masuk ke rumah dan mempastikan keluarga dibimbing menurut syariat Islam.
Anak yang soleh dan sentiasa terarah kepada kebaikan tidak akan diperolehi secara kebetulan tetapi bermula daripada asas pembentukan keluarga iaitu pemilihan pasangan, pendidikan serta sumber makanan.
Sistem pendidikan yang mementingkan duniawi semata-mata akan melahirkan golongan bijak dalam pelajaran tetapi miskin dari segi akhlak.
Sikap individualistik yang semakin menyelubungi masyarakat kini menjadikan sistem kehidupan kian bercelaru sedangkan jika semua pihak mengambil berat, banyak gejala negatif dapat dibendung secara bersama.

Rujukan : Berita Harian 16 Januari 2010

Tuesday, January 19, 2010

POTONG...POTONG...POTONG

Fenomena 'potong' nampaknya bukan hanya promosi P1 Wimax tetapi telah berjangkit ke........... ........Peruntukan makan asrama hanya untuk 5 hari so pelajar asrama harian nampaknya kenalah balik kampung setiap minggu.Kalau rumah jauh di ceruk rantau dan keluarga pula kurang berkemampuan, tidak ke menyusahkan. *Kalau RM yang menjadi persoalan, mengapa tidak dikenakan semula yuran peperiksaan yang telah di'percuma'kan untuk semua golongan. Sekurang-kurangnya tidak membazir kertas apabila pemeriksa menerima skrip jawapan kosong, mungkin gara-gara exam free. Peperiksaan awam memerlukan belanja yang besar, kertas soalan, bayaran pengawas, bayaran pemeriksa....etc. Memang sewajarnya yuran dikenakan.*
Semuga Allah mempermudahkan urusan kami suami isteri dalam memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak.
(*pandangan peribadi sahaja, tidak mewakili mana-mana organisasi)

TAHUN 2010

Selamat Tahun Baru 2010 (ucapan yang terlewat 19 hari.....). Tahun 'penantian' kerana
i. Ahmad Khairum Muzammil - result SPM akan diketahui very soon
ii. Aqilah Khairunnisa - akan menduduki SPM
iii. Ainunul Khalilah - akan menduduki PMR
iv. Akmal Khalidah - akan menduduki UPSR
Kalau you all berjaya dengan cemerlang, pastinya 2010 akan membawa impak yang lebih besar dalam kehidupan kita semua.
STRAIGHT 'A' PLEASE....