Monday, May 23, 2011

Tragedi Tanah Runtuh...Lenyap sekelip mata


Alangkah pilunya hati menonton Buletin Utama Tragedi Tanah Runtuh Rumah Anak Anak Yatim dan Anak Anak Hidayah Madrasah Al Tawqa di Hulu Langat.
Kanak kanak yang baru mengenal dunia telah pergi buat selama-lamanya kerana Yang Maha Pencipta lebih menyayangi mereka.
Enam belas jenazah selamat dikebumikan, ada yang dikebumikan dalam satu liang dan ada dikebumikan di kampung masing masing.
Kepada Allah kita datang dan kepadaNYA juga kita akan kembali.....
1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun
2) Nurahimi Rosdi, 14
3) Dzahir Haziq M. Muin, 11
4) Ahmad Lokman Hakim, 11
5) Farid Ibrahim, 34
6) Mohd Azret Azahari, 8
7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11
8) Zahid Assawal Zamri, 19
9) Mohd Mustakim Mamat, 12
10) Mohd Naerzein M. Nor, 8
11) Mohd Aiman Abdullah, 10
12) Shahrul Nurimran Adnan, 9
13) Mohd Zaid Azahari, 14
14) Mohd Imal Fahad, 9
15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9
16) Mohd Hazim Sapri, 10

AlFatihah buat mereka.

Seperti biasa, kita akan baca/dengar reaksi begini:

Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Felcra Semungkis, Batu 14 di sini yang ranap dalam kejadian tanah runtuh semalam dibina tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
Pihak berkuasa tempatan itu tidak pernah menerima permohonan bagi membina bangunan terbabit sebelum ini.
“Kalau mereka mohon untuk membuat rumah ini sekarang, pasti tidak diluluskan kerana keadaan cerun yang terlampau curam iaitu melebihi 70 darjah,”
- kata Yang Dipertua MPKj, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman


Kerajaan akan memastikan mereka yang ingin memajukan sesuatu kawasan perlu mengikuti setiap perkara dalam garis panduan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pula akan membuat pemantauan di kawasan-kawasan berisiko.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pembangunan di kawasan lereng dan berbukit di Kuala Lumpur tidak akan dihenti asalkan pemilik tanah dan pemaju mematuhi syarat-syarat teknikal tersebut.
- Menteri Wilayah Perseketuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin


Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat, Selangor bukan sahaja dijadikan sebagai rumah yang menempatkan anak-anak yang tidak mempunyai ibu bapa tetapi turut digunakan untuk tujuan lain
Sehubungan itu, katanya, kementeriannya masih belum dapat memastikan status sebenar rumah kediaman tersebut.
“Jadi, kita tidak tahu rumah itu digunakan untuk apa dan ia bukan rumah anak yatim kerana ramai yang bermastautin di situ,”
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Jabatan Kerja raya (JKR) diminta segera mengkaji dan meneliti kawasan cerun sekitar kawasan tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, jika terdapat ketidastabilan cerun.
Kawasan itu dipercayai telah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh namun tidak dilaporkan.
“Kita minta JKR pergi melihat kawasan itu…sekiranya berlaku tanda-tanda tidak stabil, kita akan beritahu pihak yang berkenaan.
“Pihak kami akan siasat. Jika ini tanah persendirian, kita akan bantu. Sekiranya di bawah bidang kuasa JKR, kita juga akan bantu,”
- Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor


Cukup-cukuplah... maaf rasa nak muntah. Skrip yang sama cuma lagu berbeza. Anak-anak kecil itu tidak mengerti apa itu CF, apa itu cerun melebihi 70 darjah, apa tah lagi nak memahami erti kehidupan.Walaupun mereka meninggal dunia dalam runtuhan, akhlak mereka tak pernah runtuh. Di alam kubur dan akhirat kelak, semoga roh dan keimanan mereka tetap teguh selama-lamanya. Berbanding anak-anak lain di luar sana yang hidup bukan dalam suasana seperti ini. Kalau mereka menemui ajal, adakah dalam keadaan yang baik seperti ini ? Belum tentu.

"Ya Allah inikah tanda kemurkaanMu, ampunkan kami Ya Allah jika kami selama ini mementingkan diri sendiri dan meminggirkan golongan yang malang ini, hina sungguh kami Ya Allah"

Bersama-sama kita merenung kembali apa yang tersirat di sebalik tragedi ini.


No comments:

Post a Comment